KUALA LUMPUR 28 Sept. – Cadangan atau usaha mewujudkan kerajaan perpaduan bersama pembangkang khasnya UMNO hanya akan dibincangkan selepas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pulang ke tanah air.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, perbincangan itu perlu diadakan bagi mengetahui dengan lebih lanjut bentuk kerjasama tersebut kerana ia melibatkan kepentingan negara.
“Kita belum buat perjumpaan, tunggu Dr. Mahathir balik untuk bincang dan bagaimana hendak meneruskan sebab benda ini untuk negara kita.
“Kerjasama dengan mana-mana pihak perlu diteliti sama ada boleh atau tidak hendak dilaksanakan,” katanya kepada pemberita di Hospital Serdang, dekat sini hari ini.
Terdahulu, Dr. Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyempurnakan Majlis Perasmian Better Brighter Anjung Kasih di hospital tersebut.
Better Brighter Anjung Kasih mendapat tajaan menaik taraf dan penyelenggaraan sepenuhnya oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) sebanyak RM1.2 juta bagi tempoh lima tahun.
Semalam, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata, kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada masa ini komited dengan pendiriannya hanya ada satu kerajaan sahaja dan tidak perlu kepada kerajaan perpaduan.
Beliau yang menang tanpa bertanding jawatan Presiden PKR berkata, cadangan itu juga tidak relevan untuk dibincangkan dalam PH. – UTUSAN ONLINE











