KUALA LUMPUR 16 Sept. – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) komited melaksanakan segala janji yang termaktub dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, apabila situasi kewangan negara bertambah baik.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kepemimpinan kerajaan PH juga akan berusaha memulihkan kedudukan politik Sabah dan Sarawak.
Beliau yang juga Setiausaha Agung DAP mendakwa, kedua-dua negeri di Kepulauan Borneo itu menjadi lebih baik di bawah pentadbiran kerajaan Persekutuan dan negeri di bawah PH, selepas rasionalisasi ekonomi dilaksanakan.
“Kerajaan PH akan mengembalikan semula kedudukan kedua-dua negeri tersebut sebagai satu dari tiga wilayah yang membentuk Malaysia dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Janji-janji berkenaan hak ekonomi dan sosial rakyat Sabah dan Sarawak tidak akan dilupakan kerajaan PH sebaik sahaja keadaan ekonomi kerajaan Persekutuan pulih,” katanya dalam kenyataan perutusan Hari Malaysia 2018, di sini hari ini.
Jumaat lalu, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad memberitahu, negara akan mengalami kerugian amat besar jika melaksanakan janji-janji dalam manifesto PRU-14, justeru kajian semula perlu dilaksanakan.










