NEW YORK – Tun Dr. Mahathir Mohamad berikrar bahawa kerajaan baru Pakatan Harapan akan bertindak habis-habisan bagi memastikan pentadbirannya itu bebas dari gejala rasuah.
Perdana Menteri berkata, kerajaan dan anggota kabinetnya harus menjadi contoh terbaik dalam usaha memerangi rasuah.
“Perkara pertama yang perlu kita lakukan tentunya memastikan pada pemimpin tidak mengamalkan rasuah. Jika pemimpin itu sendiri rasuah maka kita tidak akan dapat menghentikan rasuah daripada merebak.
“Di mana-mana negara, sedikit sebanyak akan berlakunya rasuah tetapi ideanya adalah untuk memastikan ianya berada pada paras minimum dan ianya dilakukan melalui apa yang kita panggil kepimpinan melalui teladan,” katanya dalam satu panel perbincangan di Bloomberg Buisness Forum yang di kendalikan oleh Fareed Zakaria dari CNN di sini semalam.
Ahli panel lain ialah Perdana Menteri Belanda, Mark Rutte; Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern dan Ketua Pegawai Eksekutif Royal DSM, Feike Sijbesma. – Bernama










