Soalan
Adik bongsu saya semasa kecil selalu sakit. Nenek saya telah menukar nama adik kerana menurutnya, nama itu ‘terlalu berat’ dan tidak mampu ditanggung. Ternyata setelah menukar nama, adik saya tidak lagi selalu sakit seperti dulu. Adakah kepercayaan ini berasas atau hanya kebetulan?
Jawapan:
Pemberian nama anak adalah perkara yang dititikberatkan oleh syarak. Ini kerana penamaan nama yang baik adalah antara faktor dalam membentuk peribadi soleh kepada diri seseorang.
Sebagaimana sabda Rasulullah SAW maksudnya: “Sesungguhnya kamu semua akan diseru pada hari kiamat kelak dengan nama kamu dan nama bapa-bapa kamu. Maka elokkan nama kamu.” – Riwayat Abu Daud
Nama dan peribadi
Sebahagian ulama menjelaskan bahawa terdapat kaitan ketara antara nama dengan seseorang yang dinamakan dengan nama tersebut. Antaranya, sebagaimana disebutkan oleh Imam Ibnul Qayyim: “Secara kesimpulannya, akhlak dan perbuatan-perbuatan yang buruk itu ada hubung kaitnya dengan nama.
“Demikianlah nama-nama yang baik akan mendorong kepada akhlak dan perbuatan baik. Tidaklah Rasulullah SAW itu dinamakan dengan Muhammad melainkan kerana banyaknya ciri dan sifat terpuji pada diri Baginda SAW. Dan sesungguhnya pemilik nama yang baik kadangkala malu dengan namanya, dan kadangkala disebabkan namanya itulah mendorong seseorang melakukan perbuatan yang sesuai dengan namanya serta meninggalkan apa bercanggah dengannya.” [Lihat Tuhfah al-Maudud, hlm. 250]
Disebabkan perkaitan inilah para ulama membahaskan hukum menukar nama, perinciannya dibahaskan oleh Imam Ibnul Qayyim dalam fasal ketiga pada kitab beliau Tufhatul Maudud ketika membahaskan galakan menukar nama kepada nama yang lain disebabkan maslahah. [Lihat Tuhfatul Maudud, hlm. 129]
Sabda Rasulullah maksudnya: “Bahawasanya pada asalnya nama Zainab ialah Barrah, maka dikatakan kepadanya “engkau memuji diri sendiri”, maka Rasulullah SAW pun menukarkan namanya kepada Zainab.” – Riwayat Bukhari .
Berdasarkan hadis ini, ulama telah mencapai kepada beberapa kesimpulan:
1. Dituntut menukarkan nama seseorang kerana kejelekan dan keburukannya
2. Menukarkan nama kerana maslahah tertentu walaupun nama itu baik pada asalnya
3. Mengelakkan nama membawa kepada mempercayai sial. Contohnya seperti nama Hazan yang bermaksud kesedihan
Atas dasar ini Imam al-Nawawi memakruhkan menamakan anak dengan nama yang jelek dan berunsur kecelakaan.
Nama ‘berat’?
Berkaitan isu anak tidak mampu menanggung nama, kerana nama tersebut ‘berat’ dan sebagainya, kami tidak jumpai apa-apa penjelasan yang berasas di sebalik dakwaan tersebut.
Bahkan, dikhuatiri kepercayaan itu mempunyai unsur khurafat, ini kerana ulama mentakrifkan khurafat sebagai kepercayaan kepada perkara yang tidak bermanfaat, tidak memudaratkan dan tidak bersesuaian dengan akal sejahtera serta realiti semasa.
Kepercayaan ini juga kami khuatiri bercanggah dengan akidah yang wajib diimani umat Islam iaitu hanya Allah SWT sahaja yang boleh beri manfaat atau mudarat.
Sebagaimana firman Allah SWT maksudnya: “Jika Allah mengenakan engkau dengan sesuatu yang membahayakan, maka tiada sesiapa pun yang akan dapat menghapuskannya melainkan Dia; dan jika Dia menghendaki engkau beroleh sesuatu kebaikan, maka tiada sesiapapun yang akan dapat menghalangi limpah kurnia-Nya. Allah melimpahkan kurnia-Nya itu kepada sesiapa yang dikehendaki daripada hamba-hamba-Nya, dan Dia lah yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.” (Yunus :107)
Imam Ibnu Kathir ketika menafsirkan ayat ini: “Sesungguhnya kebaikan, keburukan, manfaat dan bahaya hanyalah milik Allah SWT sahaja. Tidak ada sesuatu pun menyekutui-Nya dalam hal yang demikian. Maka hanya Allah sahajalah yang berhak diibadahi. Tidak ada sekutu bagi-Nya.” (Rujuk Tafsir al-Quran al-‘Azhim, 7/407)
Kepercayaan ini juga mempunyai unsur mempercayai perkara sial yang telah jelas dilarang oleh Baginda SAW dengan bersabda maksudnya: “Tiada thiyarah (kepercayaan sial) dalam Islam.” – Sahih Muslim.
Kesimpulan
Berpandukan hujah di atas, kami berpandangan bahawa mempercayai sesuatu nama itu sebagai ‘berat’ dan tidak mampu ditanggung oleh seorang bayi adalah kepercayaan yang tidak didasari bukti yang jelas, maka seeloknya bagi kaum Muslimin menjauhkan diri daripada kepercayaan ini.











