‘Tukang perabot’ muda idam ke Rusia - Utusan Malaysia

‘Tukang perabot’ muda idam ke Rusia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 27 Sept. – Pengalaman bekerja di bengkel perabot ayah sejak berusia 13 tahun akan digunakan sepenuhnya oleh pelajar Institut Latihan Perindustrian Kota Bharu (ILPKB), Muhamad Rafiqi Mohd Daruwis dalam pertandingan akhir pembuatan kabinet WorldSkills Malaysia Belia (WSMB) yang akan berlangsung di Pusat Pembangunan Kemahiran Industri Kayu (WISDEC) di Banting, Selangor bermula Sabtu ini.

Muhamad Rafiqi, 20, adalah antara sembilan peserta akhir dari seluruh negara yang akan berkampung di WISDEC dari 29 September hingga 3 Oktober ini akan bersaing bagi merebut tempat untuk mewakili negara ke peringkat dunia di Kazan, Rusia tahun hadapan

Muhamad Rafiqi berkata, dia amat meminati dunia perabot dan bersyukur mendapat peluang mengikuti kursus sijil Teknologi Reka Bentuk dan Pengeluaran Perabot di ILPKB sejak 2016.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya membantu ayah, Mohd Daruwis Daud, 49, yang mempunyai bengkel kecil di hadapan rumah kami di Kampung Lubuk Besar, Kok Lanas sejak dari Tingkatan Satu lagi.

“Ini kali pertama saya dapat ke peringkat akhir selepas terkandas di pusingan pra-kelayakan tahun lalu, saya melakukan persiapan dan latihan intensif sejak empat bulan lalu bersama pensyarah yang sentiasa beri tunjuk ajar,” katanya ketika ditemui di majlis pelepasan kontinjen ILPKB ke WSMB di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan negeri, Mohmod Embung; Pengerusi Kelab-kelab Belia Malaysia (MAYC) negeri, Mohd Hakimi Mat Hussin; Pengarah ILPKB, Zainudin Ahmad dan Pengerusi WSMB ILPKB, Mohamad Hazmi Nordin.

Sementara itu, Mohamad Hazmi berkata, enam pelajar ILPKB sebenarnya layak ke pusingan pra-kelayakan pembuatan kabinet yang berlangsung di Kuantan, Pahang pada April lalu namun hanya Muhamad Rafiqi sahaja berpeluang meneruskan persaingan ke akhir.

“Muhamad Rafiqi bukan sahaja menjadi wakil tunggal negeri malah turut membawa nama sebagai satu-satunya wakil dari institusi di bawah Jabatan Tenaga Manusia (JTM), dia akan diiringi oleh jurulatih, Zaleha Salleh dan penolong jurulatih, Mazlan Hussin selain lima pelajar lagi bagi menimba pengalaman,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini