Tudung canting ilham jenama antarabangsa - Utusan Malaysia

Tudung canting ilham jenama antarabangsa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUDAH menjadi sifat semula jadi wanita ingin mahu nampak cantik, menarik dan bergaya. Sejak kecil lagi sifat-sifat begini sudah boleh dilihat pada seorang kanak-kanak perempuan.

Ada yang sanggup menghabiskan banyak wang bagi membeli pakaian atau barangan yang disukai bagi kepuasan diri sendiri.

Mereka cukup ‘bahagia’ dan seronok menampilkan pakaian atau barangan mahal yang mereka sukai.

Memuatkan artikel berkaitan…

Suka bergaya dan mahu sentiasa nampak cantik bukan untuk orang lain tetapi untuk diri sendiri, Siti Norhajar Abu Bakar, 38, sanggup menghabiskan banyak wang untuk membeli pakaian atau barangan yang disukai.

Sehinggalah suatu ketika, suami menegur akan sikapnya yang berbelanja tinggi, walaupun ketika itu dia sudah mengenakan tudung.

Terkedu dan terfikir ada benarnya teguran suami, dia mencari bagi menyekat dirinya daripada berbelanja besar dan menghabiskan banyak wang.

Bertemu dengan Siti Norhajar baru-baru ini, ibu kepada tiga orang anak berumur 12 dan lapan tahun (kembar) ini berkata, segalanya bermula tiga tahun lepas.

Katanya, ketika itu dia baharu mula hendak memakai tudung, bagaimanapun yang dipakai bukan tudung-tudung biasa, sebaliknya daripada jenama antarabangsa seperti Gucci, Chanel, Hermes, Ferragamo dan LV.

“Sehelai skaf yang saya jadikan tudung pun berharga RM1,800, malah ada yang lebih mahal daripada itu. Ada juga yang mencecah hingga RM5,000 sehelai, tetapi kerana mahu tudung yang lain daripada lain, saya beli juga.

“Saya tidak suka tudung yang sama dengan orang lain. Saya rasa satu kepuasan dan keseronokan apabila memakai tudung yang berjenama dan berbeza.

“Lama juga saya berfikir tudung apa yang saya hendak pakai jika saya tidak lagi membeli tudung-tudung berjenama ini. Akhirnya saya mendapat ilham untuk membuat tudung batik.

“Saya memilih tudung batik yang dilukis tangan atau canting kerana ia unik, eksklusif, cantik dan lain daripada lain. Batik canting sudah tentu tidak akan sama antara satu sama lain,” katanya yang mengaku tidak suka batik sejak kanak-kanak lagi.

Siti Norhajar menambah, masalahnya dia langsung tidak tahu hendak melukis batik.

Justeru, bagi mempelajari mengenai lukisan batik, dia mula belajar di Kraftangan. Setelah tiga bulan belajar, dia sudah boleh membuat tudung yang dicanting sendiri.

Kebetulan ketika di Kraftangan, wakil dari Persatuan Isteri-isteri dan Kakitangan Petronas (Petronita) tertarik dengan corak batik cantingnya.

Persatuan itu lalu membuat tempahan sebanyak 1,000 helai batik canting motif orkid untuk dijadikan pakaian seragam ahlinya. Dari situ, Siti Norhajar nekad membuka syarikat sendiri yang dinamakan Rumah Canting Malaya (RCM), yang kini terletak di Taman Melawati, Kuala Lumpur dengan produk eksklusifnya ialah tudung batik canting.

Dia sendiri tidak menyangka akan memiliki syarikat sendiri kerana pada asalnya, dia memulakan usaha ini sebagai hobi dan terus berkembang pantas.

Setakat ini, setiap bulan dia akan mengeluarkan sebanyak 1,000 helai tudung batik canting yang menggunakan seratus peratus kain sutera.

Pada Januari lalu, dia mengeluarkan pula tudung batik canting daripada kain kapas.

“Saya mempunyai 11 pekerja yang empat daripadanya lulusan ijazah tekstil dari Universiti Teknologi Mara (UiTM). Setiap bulan saya akan membuat rekaan baharu untuk tudung.

“Inspirasi rekaan adalah daripada tudung-tudung jenama-jenama mewah dan antarabangsa. Selain tudung empat segi, saya turut menghasilkan selendang panjang dan tudung sarung segera dengan pelbagai saiz, sesuai bagi mereka yang suka bertudung labuh atau hendak pergi menunaikan umrah dan haji. Semua tudung ini mempunyai motif batik,” jelasnya.

Dia juga tidak menyangka, setiap helai tudung yang dijual pada harga di antara RM100 hingga RM399, mendapat sambutan sangat memberangsangkan.

Siti Norhajar mempunyai stokis di seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak hingga ke Brunei, Singapura dan Oman. Produk tudung RCM ini juga dijual di Karyaneka, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Pusat Pelancongan Malaysia (Matic).

Lebih membanggakan apabila RCM turut membekalkan kain batik untuk Istana Negara, badan-badan korporat, sekolah dan sebagainya.

“Sebanyak 99 peratus perniagaan ini adalah secara dalam talian dan satu peratus daripada korporat,” katanya yang tidak begitu memandang pada keuntungan sebaliknya kegembiraan, ketenangan dan kepuasan diri.

Jika mahu mengetahui lebih lanjut mengenai tudung canting batik RCM, boleh layari Facebook CTCanting.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini