TPM taja 20 pokok tecoma hargai alam sekitar - Utusan Malaysia

TPM taja 20 pokok tecoma hargai alam sekitar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU GAJAH 16 Sept. – Techno­logy Park Malaysia Corporation Sdn. Bhd. (TPM) menaja 20 anak pokok tecoma untuk ditanam sempena Hari Kokurikulum Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Toh Indera Wangsa Ahmad dekat sini semalam.

Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif TPM, Datuk Ir. Mohd. Azman Shahidin berkata, penanaman pokok tecoma bertujuan menggalakkan pelajar menghargai nilai-nilai perlindungan alam sekitar de­ngan mengurangkan kesan perubahan iklim.

Tambah beliau, pokok-pokok yang ditanam di kawasan sekolah juga mendedahkan pemikiran pelajar tentang pemuliharaan alam sekitar lebih awal selain menggalakkan pembudayaan sukarelawan belia dan pengindahan landskap secara semulajadi.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pokok berbunga tecoma yang juga dikenali sebagai Sa­kura Malaysia sering dilihat di Malaysia dengan bunga merah jambu, ungu, atau putih.

“Bunga ini mekar dua kali setahun semasa cuaca panas dan ia pastinya akan menambah keindahan persekitaran sekolah ini nanti,” katanya.

Majlis penanaman pokok itu telah disempurnakan Ahli Parlimen Batu Gajah, V. Sivakumar bersama dengan ahli-ahli Kelab Sains dan Matematik sekolah berkenaan.

Kata Mohd. Azman, TPM mempunyai lebih daripada 200 pokok tecoma di kampusnya di Bukit Jalil, Kuala Lumpur yang ditanam di tanah seluas 274 hektar.

Tambah beliau, selain penanaman pokok, pelbagai aktiviti dan pameran turut diadakan iaitu pameran produk, pameran poster, kuiz, dan pelbagai aktiviti interaktif berkaitan sains, teknolog dan inovasi (STI).

Katanya, acara sehari tersebut disokong oleh Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) bersama-sama de­ngan sembilan lagi agensi nasional di bawahnya.

Satu lagi aktiviti menarik yang kami harapkan akan menarik perhatian para pelajar adalah booth simulasi STEM TPM. Matlamatnya adalah untuk mewujudkan kesedaran yang lebih tinggi dan memberi inspirasi kepada kanak-kanak sekolah dan belia tentang keseronokan sains, kepentingan STI dan pelbagai peluang yang ditawarkan oleh pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik.

“Saya yakin penyertaan TPM dalam program yang disokong oleh MESTECC ini akan menawarkan setiap pelajar sekolah ini dan masyarakat sekitar baik muda atau tua tentang peluang untuk mendapat pengetahuan yang lebih baik mengenai usa­ha yang dilakukan oleh ke­ra­jaan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini