KUALA LUMPUR 26 Sept. – Ahli perniagaan terkemuka negara, Tan Sri Tony Fernandes diumum sebagai Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) yang baharu pada hari ini.
Pengumuman tersebut dibuat menerusi satu kenyataan daripada Pejabat Menteri Belia dan Sukan yang turut memaklumkan bahawa Tony bakal bertanggungjawab untuk menambah baik struktur dan operasi PSM,
serta memulihkan keadaan kewangan semasa badan tersebut yang kini mengalami kerugian sebanyak
RM11 juta.
“Pemilihan Tan Sri Tony Fernandes sebagai Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) yang baharu dibuat berdasarkan pencapaian dan pengalaman beliau sebagai seorang tokoh korporat yang cukup disegani di Malaysia mahupun di luar negara.
“Pelantikan beliau diharapkan dapat memajukan serta merancakkan lagi aktiviti belia, sukan, rekreasi dan hiburan yang melibatkan pelbagai aset di bawah PSM secara meluas, bukan sahaja dari segi penjanaan pulangan ekonomi yang baik kepada negara, malah dapat merealisasikan hasrat Kementerian Belia dan Sukan untuk membentuk budaya aktif dan sihat di kalangan rakyat Malaysia, khususnya untuk para belia,” kata kenyataan tersebut. – UTUSAN ONLINE











