SEREMBAN 13 Sept. – PKR Negeri Sembilan yakin Barisan Nasional (BN) tidak mampu menang di Parlimen Port Dickson walaupun mencalonkan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan atau Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad bertanding di kerusi berkenaan.
Pengerusinya, Aminuddin Harun berkata, ini berdasarkan keyakinannya bahawa pengundi di kawasan itu masih bersama Pakatan Harapan dan akan menyokong Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pilihan raya kecil (PRK) yang akan diadakan nanti.
“Kalau UMNO kata Tok Mat (Mohamad) sebagai calon sesuai, belum tentu orang Port Dickson kata beliau paling sesuai. Saya orang Port Dickson saya tahu sejarah beliau di situ, jadi saya harap beliau fikirkan kalau mahu bertanding.
“Begitu juga dengan Mohd. Isa, kita tahu UMNO tidak dapat memberi cabaran. Bukan saya cakap besar tapi saya yakin UMNO sukar kalau bertanding nanti,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Anugerah Khidmat Cemerlang Pentadbiran Kerajaan Negeri 2018, di sini hari ini.
Aminuddin yang juga Menteri Besar berkata demikian ketika mengulas kemungkinan Mohamad dicalonkan untuk berdepan Anwar dalam PRK Port Dickson.
Sementara itu, beliau berkata, BN mampu memberikan saingan sengit jika meletakkan calon dari UMNO berbanding MIC yang sebelum ini bertanding di Parlimen tersebut sejak beberapa penggal lalu. – UTUSAN ONLINE










