TNB fokus tenaga boleh diperbaharui - Utusan Malaysia

TNB fokus tenaga boleh diperbaharui

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 20 Sept. – Tenaga Nasional Bhd. (TNB), syarikat utiliti tersenarai paling bernilai dalam kalangan pasaran membangun di Asia, berhasrat untuk menjual loji janakuasa gasnya di Pakistan ketika ia menumpukan kepada rancangan untuk bergantung kepada tenaga boleh diperbaharui (RE).

AZMAN MOHD.
AZMAN MOHD. 

Pengeluar tenaga elektrik di Malaysia itu mahu mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil yang menyumbang kira-kira 70 peratus daripada penjanaan kuasanya, kata Ke­tua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Ir. Azman Mohd. dalam sesi wawancara dengan Bloomberg di sini hari ini.

Syarikat itu juga mempertimbangkan untuk meningkatkan kepentingannya di dalam Gama Enerji AS di Turki yang menghasilkan elektrik menggunakan air, angin dan gas asli, kata beliau.

“Strategi kita adalah untuk melabur di negara-negara maju dan sedang membangun, secara kontrak dan pasaran, bahan api fosil dan tenaga boleh diperbaharui – kami sedang meningkatkan kapasiti RE kami,” kata Azman.

TNB mempunyai nilai pasaran hampir RM90 bilion, me­ngalahkan syarikat lain termasuk NTPC Ltd. di India dan Huaneng Power International Inc. di China.

Inisiatif TNB ke arah sumber tenaga lestari adalah sejajar dengan agenda yang ditetapkan oleh Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar & Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin yang yakin dapat mencapai sasaran 20 peratus RE menjelang 2030, daripada hanya dua peratus ketika ini.

TNB berhasrat menghasilkan 1,700 megawatt (mW) daripada tenaga hijau menjelang 2025, daripada 280 mW, menurut pembentangan pelabur pada Disember.

Ia berbanding kapasiti dipasang syarikat itu pada 24,139 mW, yang cukup untuk membekalkan kuasa sekurang-kurangnya 1.6 juta rumah bersaiz sederhana.

Azman bagaimanapun enggan memberikan butiran harga bagi tawaran di Pakistan atau Turki kerana kedua-duanya masih dalam peringkat eksplorasi.

TNB memiliki 30 peratus Gama Enerji dengan lebih 1,100 mW dipasang di Turki, serta 235 mW loji janakuasa di wilayah Sindh, Pakistan.

Syarikat itu berusaha untuk mengembangkan pelaburan antarabangsanya termasuk aset tenaga di United Kingdom dan India sehingga ia menyumbang 20 peratus kepada pendapatan menjelang 2025, menurut laman web TNB. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN