MUAR 9 Sept. – Sebuah bas ekspres dari Kuala Lumpur menuju ke Singapura yang membawa 25 penumpang remuk di bahagian tepi dipercayai akibat bergesel dengan sebuah treler di Kilometer 138, Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan, berhampiran Pagoh, di sini.
Kemalangan kira-kira pukul 2.30 pagi itu mengakibatkan tiga penumpang maut akibat tercampak dari bas berkenaan yang berada di lorong kanan lebuh raya itu.
Mangsa yang meninggal dunia ialah dua penumpang wanita, Lim Siew Kee, 61, dan Lai Moon Ching, 25, manakala seorang lagi penumpang lelaki yang maut masih belum diketahui identitinya.
Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Zaharudin Rasip berkata, 13 lagi penumpang serta pemandu bas berusia 54 tahun turut cedera ringan dan dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar dan Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat bagi menerima rawatan.
Menurutnya, baki 10 lagi penumpang termasuk pemandu kedua bas ekspres berkenaan serta pemandu treler berusia 28 tahun tersebut tidak mengalami kecederaan.
“Berdasarkan siasatan awal, bas terbabit dipercayai bergesel dan merempuh bahagian tepi sebelah kanan treler itu menyebabkan separuh bahagian bas rosak teruk.
“Akibat kemalangan itu, tiga penumpang bas tercampak keluar mengakibatkan seorang mangsa maut di tempat kejadian, manakala dua lagi penumpang meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke hospital,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tambah Zaharudin, pihaknya masih meneruskan siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi mengetahui punca nahas tersebut sambil memaklumkan cuaca di tempat kejadian baik semasa kemalangan itu.










