KLANG – Meskipun terpaksa meredah kawasan becak serta berpaya namun ia tidak menjadi halangan bagi anggota dan pegawai daripada Jabatan Imigresen Selangor untuk menggempur pendatang asing tanpa izin (PATI) di tiga lokasi berasingan di negeri ini sejak semalam.
Ops Mega 3.0 yang bermula kira-kira 10 malam semalam dan berakhir pukul 5 pagi tadi menyasarkan tiga tapak pembinaan yang menjadi penempatan PATI iaitu dua di Pelabuhan Klang dan satu di kawasan Bukit Raja.
Pengarah Jabatan Imigeresen Selangor, Mohamad Shukri Nawi berkata, hasil serbuan di tiga lokasi itu, seramai 108 orang PATI berjaya ditahan selepas membuat pemeriksaan ke atas 208 orang warga asing.
“Tangkapan ini terdiri daripada 89 orang lelaki dan 19 orang wanita terdiri daripada warga Indonesia (69 orang), Bangladesh (22 orang), Kemboja (1 orang), Ghana (3 orang), Nepal (2 orang), Myanmar (10 orang) dan Nigeria (1 orang).
“Kesemua yang ditahan berusia dalam lingkungan 17 hingga 50 tahun disyaki telah melakukan pelbagai kesalahan dibawah Akta Imigresen 1959/63 kemudiannya dibawa ke Pejabat Imigresen Selangor untuk tindakan lanjut,”katanya dalam satu kenyataan disini hari ini.
Mohamad Shukri berkata, operasi berkenaan juga berdepan cabaran kerana keadaan lokasi tapak pembinaan sangat luas, ditambah kawasan berbukit dan dikelilingi kawasan berpaya.
“Ada anggota terpaksa memasuki paya jenis lumpur untuk memaksa PATI keluar, kerana ada segelintir PATI cuba melarikan diri dengan cara bersembunyi dan berenang untuk mencari jalan keluar dari kawasan berkenaan.
“Bagaimanapun kecekapan anggota dan pegawai Jabatan Imigresen Selangor seramai 69 orang dibantu empat orang pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) berjaya menghalang kesemua PATI berkenaan lolos,”katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak mempunyai pas /permit yang sah dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal lebih masa. – K! ONLINE











