Tiga pemuda maut dalam nahas dua kenderaan - Utusan Malaysia

Tiga pemuda maut dalam nahas dua kenderaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS – Tiga pemuda maut manakala tiga lagi cedera selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan dua buah kenderaan di Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu berhampiran Felda Belara di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.26 malam itu, penumpang hadapan kereta jenis Proton Wira, Mohd. Kamarul Zaman Asdi, 24, serta dua penumpang kereta Proton Iswara Aeroback, Syaifudeen Sobree Abdul Rahman, 22, dan Che Wan Hasbullah Che Wan Zubaidi, 22, disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan akibat kecederaan parah pada anggota badan.

Manakala pemandu kereta Proton Wira, Suhaimi Mohd. Yusof, 23, serta penumpang bahagian belakangnya, Tun Mohd. Shuhairy Tun Mat Rani, 21, yang cedera kini dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pemandu kereta Proton Iswara Aeroback, Nik Muhamad Arif Mohd. Afandi, 22, yang mengalami pendarahan pada bahagian kepala dan patah tulang paha turut menerima rawatan di hospital sama.

kemalangan
Tiga sahabat baik, Che Wan Hasbullah Che Wan Zubaidi (kiri) dan Syaifudeen Sobree Abdul Rahman (kanan) maut manakala Nik Muhamad Arif Mohd. Afandi (tengah) cedera parah dalam kemalangan ketika menuju ke Besut di Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu berhamporan Felda Belara semalam.

 

Difahamkan pemandu dan penumpang kereta Proton Iswara Aeroback itu merupakan penuntut Diploma Penyejukan dan Penyaman Udara di Institut Kemahiran Mara (IKM) Larkin, Johor dan sedang dalam perjalanan pulang ke kampung masing-masing bagi menghabiskan cuti minggu aktiviti.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Idris Abd. Rafar berkata, siasatan awal mendapati kereta Proton Wira yang datang dari arah Sungai Tong, Setiu menuju ke Kuala Terengganu itu bertembung dengan kereta Proton Iswara Aeroback dinaiki tiga penuntut lelaki tersebut.

“Akibat rempuhan yang kuat, dua penumpang bahagian hadapan dan belakang Proton Iswara Aeroback serta penumpang hadapan Proton Wira berkenaan disahkan maut di tempat kejadian.

“Tiga lagi mangsa lelaki yang mengalami kecederaan kemudiannya dikejarkan ke HSNZ bagi rawatan lanjut,” katanya kepada Kosmo! Online sebentar tadi. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini