JUMLAH agama di Jepun sukar ditentukan jumlahnya dengan tepat, dikatakan ia melebihi 100,000 jenis. Meskipun rakyatnya dianggap beragama Buddha atau Shinto, namun hakikatnya setiap ajaran kuil berbeza antara satu sama lain, sekali gus bermaksud setiap agama di Jepun memiliki kelainan.
Ia berbeza dengan Islam, matlamat tauhidnya hanya satu sahaja iaitu menyembah Allah Yang Maha Esa, tiada Tuhan lain melainkan-Nya.
Kebanyakan rakyat Jepun dilarang bercakap mengenai agama sama ada di sekolah atau dalam majlis umum kerana bagi mereka anutan agama adalah kebebasan hak asasi iaitu setiap orang bebas untuk menganuti mana-mana agama pilihan. Apabila bercerita mengenai agama, ia mungkin boleh mendatangkan ketegangan dan kerana itulah langkah pencegahan awal dilaksanakan.
PUNYA KELEBIHAN
Tetapi hal ini berbeza dengan Islam. Agama ini seperti tidak terikat dengan undang-undang ini kerana Islam mempunyai pelbagai cabang. Contohnya, industri makanan halal boleh menjadi pemangkin ekonomi. Daripada bercerita mengenai arak dan khinzir, ia boleh membawa kepada cerita mengenai solat lima waktu sehari dan syahadah.
Malah gedung-gedung pasar raya besar dan stesen-stesen kereta api utama mereka, alhamdulillah turut menyediakan tempat solat untuk Muslim.
Agama Islam seperti bebas daripada undang-undang mereka ini. Malah, saya juga kadang-kadang dipanggil ke beberapa majlis untuk menerangkan mengenai agama Islam.
Mungkin kerana keistimewaan yang diperoleh itu menjadi asbab kepada penyebaran dakwah Islam di Jepun. Kali ini saya ingin berkongsi kisah menarik seorang warga Jepun agar ia dapat menjadi pengajaran berguna kepada saya dan pembaca semua. HIDAYAH BERPUTIK
Nama saudara baharu ini ialah Masaya Nakayasu, 23, dan nama Islamnya adalah Sultan (terjemahan Masaya dalam bahasa Arab ialah Sultan). Beliau sama seperti warga Jepun lain yang pada usia remaja tidak meminati agama dan sebarang aktiviti melibatkan keagamaan.
Bagaimanapun, beliau pernah bertemu dengan penganut agama Kristian dan mula berbicara mengenai agama. Setelah belajar mengenai agama itu, kesedarannya mengenai agama mula meningkat dan mula mempelajari agama-agama selain daripada Kristian.
Pada masa sama, beliau amat menyukai negara Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan sangat ingin pergi serta tinggal di sana. Direzekikan Allah, beliau berpeluang melancong ke UAE. Semasa berada di negara itu, beliau mula berkawan dengan beberapa orang Muslim. Persahabatan itu membawanya ke masjid iaitu bagi memenuhi jemputan rakan-rakannya itu.
Peristiwa terpenting itulah yang memupuk minatnya terhadap Islam.
Sultan mula terdedah dengan Islam hingga menggamit minatnya mempelajari bahasa Arab iaitu bahasa al-Quran dan bahasa penghuni syurga. Budaya Arab dan Islam hampir tidak dapat dipisahkan. Inilah yang membuatkannya menerima hidayah daripada Allah SWT dengan belajar mengenai Islam
Sebelum itu, beliau hanya tahu mengenai agama Kristian yang dianutinya. Namun setelah mendalami Islam, beliau mula membuat perbandingan antara kedua-dua agama itu.
Kesimpulan yang ditemukan ialah Islam adalah agama yang betul dan sempurna. Sejak saat itu, Sultan tidak lagi menoleh ke belakang, keterujaannya untuk mengenali Islam secara lebih mendalam terus bertambah
Kemuncaknya apabila beliau diberikan senaskhah al-Quran terjemahan bahasa Jepun. Masanya difokuskan untuk menelaah daripada satu ayat kepada satu ayat dengan penuh kesungguhan, ditambah dengan membaca beberapa rujukan lain, akhirnya beliau dengan penuh keyakinan mengakui bahawa Islam adalah agama yang benar dan terus memeluk Islam.
PENGAJARAN
Sebelum memeluk Islam, beliau sering merasakan dirinya sukar dikawal dan selalu sahaja menghadapi tekanan perasaan. Islam mengubah hidupnya, diri menjadi lebih tenang dan seolah-olah menemui kunci untuk mengawal masalah yang dihadapinya itu.
Antara pengajaran yang boleh diambil daripada kisah Sultan agar kita semua menjadi asbab seseorang menerima hidayah daripada Allah SWT.
1. Ceritakan mengenai keindahan agama kepada sesiapa sahaja yang ditemui seperti pengalaman manis Sultan. Mungkin ia mampu menjadi pintu untuk mereka menerima hidayah.
2. Apabila seseorang mula belajar mengenai agama lain atau menganuti agama lain, dedahkan pula mereka dengan Islam. Ini kerana mereka telah mempercayai kewujudan Tuhan, cuma perlukan sedikit pembetulan.
3. Bawa rakan bukan Islam ke masjid. Tunjukkan cara kita sembahyang terutama berjemaah, ini kerana apabila melihat manusia sujud beramai- ramai mampu menggerakkan hati manusia yang melihatnya.
4. Dedahkan mereka dengan al-Quran kerana ia adalah Kalam Allah kepada hamba-Nya. Tiada perkataan dakwah yang dapat mengatasi al-Quran. Perkenal al-Quran dan hadiahkan al-Quran dalam bahasa yang difahaminya.
5. Al-Quran adalah untuk seluruh umat manusia bukan hanya eksklusif untuk Muslim sahaja. Sebarkan kepada sesiapa sahaja yang mencari Allah. Apabila manusia mencari Allah dengan membaca al-Quran, pastinya akan bertemu dengan Allah.
Firman Allah dalam Surah Ali-Imran, ayat 138:
“(Al-Quran) ini ialah penerangan kepada seluruh umat manusia dan petunjuk serta pengajaran bagi orang yang bertakwa.”
Doakan kami dan seluruh umat Islam terus diberikan hidayah untuk kekal dalam Islam. Doakan juga kami yang berdakwah di Jepun dilindungi, diberikan ilmu dan kekuatan untuk terus istiqamah berdakwah.










