KUALA TERENGGANU 15 Sept. – Pas akan membantu memastikan Datuk Seri Anwar Ibrahim diberi tentangan sengit oleh calon pembangkang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson nanti.
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan parti itu tidak akan memberi lauan mudah dan ‘kemenangan percuma’ kepada Presiden PRK itu yang bakal menyaksikan pertembungan dengan calon UMNO.
Malah katanya, sekiranya UMNO tidak mahu bertanding bagi merebut kerusi parlimen itu, Pas bersedia meletakkan calonnya.
“Kita tak mahu bagi menang percuma. Kalau UMNO tak bertanding dan tak ada orang bertanding, Pas boleh bertanding.
“Sekurang-kurangnya kita boleh adakan ‘latihan bersama’ untuk pilihan raya. Menang atau kalah, itu cerita lain,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Muktamar Tahunan Pas ke-64 di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri, di Gong Badak, dekat sini hari ini.
Sidang akhbar itu turut dihadiri Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin; Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Setiausaha Agung, Datuk Takiyuddin Hassan. – UTUSAN ONLINE










