KUALA LUMPUR 29 Sept. – Tiada istilah kiamat buat UMNO biarpun parti itu dilihat masih belum ‘kebah’ daripada demam terkejut, selain diakui masih ‘teraba-raba’ akibat kalah buat pertama kalinya dalam pilihan raya umum lalu.
Makanya, atas keyakinan itu juga, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dasuki yang tampil menggalas tanggungjawab di kala beberapa pemimpin kanan ‘angkat kaki’ tampil menggariskan lima teras bagi menerajui kebangkitan.
Baginya, kekalahan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu harus diterima dangan keinsafan di mana rakyat menghukum parti itu disebabkan kealpaan semua pihak tetapi UMNO perlu segera bangkit.
Lima teras tersebut jelas beliau ialah Menjuarai Agenda Rakyat; Menyantuni Kepelbagaian Anak Muda; Memperkukuh Nilai Inklusif; Pengislahan Pemuda dan Penjenamaan Semula Pemuda.
“Lima teras ini adalah agenda besar kita menuju Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dan juga tunjang penting dalam menentukan untuk Pemuda bangkit kembali kerana kebangkitan kita akan menentukan jatuh bangunnya bangsa Melayu.
“Kebangkitan kita akan menentukan kelangsungan martabat agama, kebangkitan kita bakal menentukan masa depan negara dan misi ini, jauh lebih besar maknanya kepada kita berbanding percaturan pilihan raya semata-mata,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasarnya pada Perhimpunan Agung Pemuda UMNO 2018 di Dewan Tun Dr. Ismail, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.
Namun, pada masa sama, Asyraf Wajdi mengingatkan semua pihak, kebangkitan yang diharapkan harus bertunjangkan keikhlasan dan menginsafi keterlanjuran lalu kerana tanpanya sukar untuk rakyat kembali memberi kepercayaan.
Atas sebab itu, tanpa apologetik, bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri tersebut tegas menuntut sesiapa sahaja yang terpalit dengan apa juga bentuk penyelewengan agar perlu berundur daripada parti.
“Jangan sesekali menjadikan parti sebagai perisai kepada segala kedurjanaan diri dan janganlah mengheret parti bersama-sama dengan kecurangan peribadi,” katanya. – UTUSAN ONLINE











