Terengganu mampu jadi hab sukan - Utusan Malaysia

Terengganu mampu jadi hab sukan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH 22 Sept. – Kejayaan Terengganu dinobat sebagai juara Sukan Malaysia (Sukma) 2018 membuktikan projek pembangunan akar umbi negeri itu membuahkan hasil, malah mereka bersedia menjadi hab sukan di negara ini.

Terengganu edisi ke-19 Sukma dengan mengutip 56 pingat emas, 51 perak dan 53 gangsa, sekali gus merangkul kejuaraan keseluruhan buat kali kelima selepas turut melakukannya pada 2008, 2010, 2011 dan 2012.

Negeri itu mengetepikan cabaran dua kuasa sukan ta­nah air, Wilayah Persekutuan (52 emas, 38 perak dan 50 gangsa) dan Selangor (47 emas, 68 perak dan 67 gangsa).

“Sebenarnya, pencapaian cemerlang Terengganu bukan sesuatu yang mengejutkan memandangkan sasaran kita dalam Sukma edisi ke-19 ini ialah 53 pingat emas.

“Kejayaan ini membuktikan program pembangunan akar umbi kami sangat berjaya.

“Kami sudah bersedia menjadi kuasa baharu sukan tempatan dan saya percaya kami mampu berbuat demikian. Satu kejayaan cukup bermakna apabila Terengganu mengambil alih dominasi Selangor,” kata Ketua Kontinjen Terengganu, Samiun Salleh.

Sukan berbasikal, pelayaran dan olahraga menjadi peyumbang emas utama negeri itu.

Nur Aisyah Mohamad Zubir muncul atlet paling cemerlang dalam acara berbasikal apabila meraih tujuh pingat emas, manakala Azreen Nabila Alias mengungguli acara 100, 200 dan 4×100 meter untuk dinobat sebagai Olahragawati.

Sementara itu, Perak menutup cabaran di tangga kelima dengan 37 emas, 50 perak dan 55 gangsa, sekali gus memperbaiki kedudukan dua tahun lalu dengan 12 emas, 26 perak dan 34 gangsa.

Sukma 2018 melabuhkan tirai hari ini dengan keha­diran Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, diiringi Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu dan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Upacara menurunkan bendera Sukma 2018 dan pe­nyerahan bendera Sukma 2020 kepada Johor sebagai tuan rumah dilakukan selepas ucapan aluan Ahmad Faizal dan Dr. Wan Azizah.

Upacara penutup diserikan dengan persembahan kebudayaan dari Johor.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN