KUALA LUMPUR 29 Sept. – Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman telah mengatur langkah dalam usaha menyelamatkan Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) bermula dengan perancangan bertemu Menteri Kewangan Lim Guan Eng bagi membincangkan keperluan peruntukan sesuai serta munasabah agar program berkenaan dapat terus memainkan peranannya.
Syed Saddiq berkata, selain bakal bertemu rakan sejawatnya daripada Kementerian Kewangan itu, usaha lain juga telah bergerak seperti membawa masuk lebih banyak penaja untuk NFDP yang ketika ini menunjukkan perkembangan positif.
“Saya dengan penuh rasa rendah diri meminta maaf kepada penyokong bola sepak tanah air. Seperti anda semua, saya juga mengidamkan hari di mana Malaysia akan layak ke Piala Dunia malah sebagai Menteri Belia dan Sukan, saya juga bertanggungjawab ke atas pembangunan semua sukan yang lain kerana ada kalanya, keputusan yang sukar perlu dibuat demi pembangunan Sukan Negara secara keseluruhan.
“Semua ini bertujuan agar NFDP dapat terus membantu membangunkan bola sepak di peringkat pembangunan dan akar umbi ini sekali gus memastikan kecemerlangan bakat dan martabat bola sepak Negara di masa hadapan.
“Saya juga mahukan Lim Teong Kim terus menerajui NFDP dengan kepakaran yang beliau ada, tetapi situasi kewangan yang ada pada Majlis Sukan Negara ketika ini tidak mampu untuk menanggung pakej yang sama. Jadi saya harap perbincangan dengan beliau bakal menemukan titik tengah yang menguntungkan kedua-dua belah pihak demi masa depan bola negara.
“Dalam masa sama kita perlukan lebih penglibatan daripada sektor korporat dalam pembangunan sukan negara yang bukan sahaja hanya tertumpu pada bola sepak malah dalam sukan-sukan yang lain juga. Paling penting, atlet muda kita semua dijaga dan tidak terabai masa depan mereka,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Sementara itu, Syed Saddiq turut mempelawa para peminat bola sepak negara agar bersama menyumbangkan idea bagi menambah baik program pembangunan akar umbi NFDP.
“Saya akan hadir bersama pemegang taruh yang lain dan saya perlukan anda semua bantu dalam proses ini,” kata Syed Saddiq.










