Taawun atau tahaluf, tetap maknanya pakat - Utusan Malaysia

Taawun atau tahaluf, tetap maknanya pakat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKTAMAR Tahunan Pas Kali Ke-64 meriah. Kawasan Kompleks Sukan Gong Badak sesak. Penuh khemah. Berjenis barang dijual. Bihun sup utara cukup laku. Pentas hiburan Islam pula sentiasa ada bunyi bernasyid da qasidah.

Kemeriahan itu, selain meraikan muktamar, juga adalah tanda merayakan kemenangan Pas di Terengganu. Dan meraikan Pas yang terus berkubu di Kelantan. Serta makin makin ramainya wakil rakyat berkopiah putih dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri-negeri lain. Cuma di Parlimen sedang-sedang saja. Pas layak meraikannya kerana mereka menang lebih sikit daripada biasa.

Sejak kelmarin para muktamirin (perwakilan) sudah tiba. Ulama, Pemuda dan Muslimat telah membuat ketetapan. Agenda mereka bulat tertumpu pada satu perkara iaitu kerjasama dengan UMNO. Hal lain dibincang juga tetapi hanya cara-cara mengemas rumah sahaja.

Dua hari mengesahkan memang Pas dan UMNO yang ‘malu-malu’ sebelum ini bakal diijabkabulkan. Rombongan pengantin yang diketuai oleh Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi telah bertandang di Stadium Tertutup Gong Badak.

Hujung bulan ini pula, mungkin Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan mengepalai rombongan Pas menghantar menantu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Cumanya kedua-dua pernah bernikah. Dan beranak pinak pula. Bukan itu saja UMNO dan Pas juga pernah bernikah lain. Jadi, bila mahu rujuk, anak-anak mahu jelas betul-betul sayangkah kedua mereka supaya jangan pisang berbuah dua kali.

Ulama telah bersetuju. Muslimat sokong sangat, “jangan pandang sepi taawun siyasi.” Pemuda pula setuju berbaik tetapi atas nama apa, ‘tahaluf’ atau ‘taawun’.

Tahaluf maksudnya kerjasama harakah Islam dengan mana-mana pergerakan lain yang tidak bermatlamatkan Islam di dalam perjuangannya

Taawun pula maknanya tolong-menolong dalam perkara yang baik.

Apa pun namanya tetap berpakat. Jadi perlu maufakat dengan molek. Baru boleh berjalan dengan laju. Garis sempadan perlu jelas. Tidak boleh lagi sembunyi-sembunyi kerana sudah geger.

Dalam pada itu, Abdul Hadi sedar sangat pakat berdua saja tidak kuat. Harus gabung ramai-ramai. Bila dah banyak, berdehem saja semua dengar. Kata tok guru itu, tunggu dan lihat.

Harapnya esok ada hal yang muktamad. Apa jenis pakat muafakat itu. Peduli apa yang orang cakap. Kalau ada yang berbunyi, itu tanda dia dengki. Dia cemburu. Dia ada macam-macam sifat mazmumah.

Jalan terus. Jangan toleh lagi.

Apa pun kata putus para muktamirin harus dicatat di batu bersurat. Supaya nanti anak cucu umat Melayu dan Islam di negara ini bangga nenek moyang mereka hidup berumah tangga dengan rukun.

Bila Melayu bersatu bagaimana pula bukan Melayu?. Kurang-kurang perlu 20 peratus untuk memerintah. Itu cabaran sebenar UMNO – Pas. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN