IPOH – Penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) ke-19 diharap dapat menjadi medan bagi melahirkan atlet yang akan mengakhiri penantian kilauan emas di Sukan Olimpik satu hari nanti.
Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu berkata, Sukma 2018 juga wajar menjadi platform dalam meneruskan tradisi melahirkan tokoh-tokoh yang akan mengharumkan nama negara di persada dunia.
“Tinggi juga harapan kita agar ada kalangan bintang-bintang muda Sukma Perak 2018 akan menyinar sehingga ke peringkat Olimpik dan kejohanan dunia suatu hari nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan alu-aluan pada perasmian Sukma ke-19 yang disempurnakan Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah di Stadium Perak di sini, malam ini.
Turut berangkat Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim. – Bernama









