Sukarelawan dekati gelandangan - Utusan Malaysia

Sukarelawan dekati gelandangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sayu mendengar bacaan surah-surah lazim yang dialunkan oleh golongan gelandangan. Kelihatan mereka benar-benar berusaha untuk menghafal dan membacanya, biarpun tampak sukar.

Mungkin sedikit kekesalan di jiwa kerana selama ini tidak berpeluang untuk mengemaskan bacaan, namun dengan hidayah yang dikurniakan Tuhan, insan-insan terpilih ini terpanggil untuk mendalami bacaan al-Quran.

Sudah lebih setahun berlalu sejak kelas Al-Furqan, Chow Kit diwujudkan bagi memudahkan gelandangan mendalami bacaan ayat suci al-Quran juga mempelajari serba sedikit fardhu ain.

Terletak di bangunan di tepi jalan, sebuah bilik lapang dijadikan pusat untuk aktiviti bagi sebahagian gelandangan di sekitar Jalan Tunku Abdul Rahman dan sekitar Chow Kit untuk ‘menumpang’ memperdalami ilmu, yang dianjurkan oleh sukarelawan-sukarelawan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sekitarnya.

Aktiviti mengaji yang diadakan setiap hari Jumaat selama sejam itu, dianjurkan oleh sukarelawan bebas, Nor Akmar Ali dengan mendapatkan khidmat ustazah dan ustaz yang mengajar secara percuma.

NOR AKMAR ALI (kiri) menyampaikan sumbangan kepada gelandangan yang berjaya dalam ujian bacaan dan h
NOR AKMAR ALI (kiri) menyampaikan sumbangan kepada gelandangan yang berjaya dalam ujian bacaan dan hafalan surah lazim di kelas Al-Furqan Chow Kit

Hakikatnya, bukan semua gelandangan yang ingin menyertai khemah ibadah, tetapi hasil daripada kewujudan Al-Furqan itu, kira-kira 30 hingga 40 gelandangan termasuk kanak-kanak, berminat untuk menyertainya secara berkala, manakala lebih 20 orang lagi tidak pernah culas untuk menghadirkan diri.

Kini, mereka sudah mampu membaca surah-surat tertentu dan al-Fatihah, malah ada yang mampu mengaji dengan baik dan antaranya sudah menghafal ayat-ayat lazim dalam bacaan solat.

“Kami mengambil masa lebih kurang satu jam seminggu bagi mempersiap diri mereka dengan hafalan dan bacaan yang baik. Walaupun hanya, seminggu sekali, tetapi apa yang kita mahu mereka datang gembira untuk mendalami agama.

“Sebelum ini ada dalam kalangan mereka yang memang tidak kenal huruf dan tidak boleh mengaji, tetapi kini rasa terharu kerana sudah boleh membaca al-Fatihah dan mengenal huruf jawi, serta sudah boleh membaca mukaddam,” jelas Nor Akmar.

Dia ditemui di pusat berkenaan baru-baru ini, sempena ujian bacaan dan penyampaian hadiah bagi bacaan hafalan surah yang paling bagus, serta penyampaian bantuan barangan bayi kepada ibu yang bakal bersalin.

Katanya, ini kali kedua ujian hafalan berkenaan diadakan buat golongan ini dan setakat ini progres mereka sangat memberangsangkan.

Dalam pada itu salah seorang gelandangan yang ditemui, Niza (bukan nama sebenar), 25, yang berasal dari Kuala Lumpur dan mempunyai tiga orang anak berasa gembira kerana dapat turut serta kelas berkenaan.

Biarpun diadakan seminggu sekali, dia bersama anak-anaknya turut menghadiri kelas itu untuk belajar agama.

“Saya baru sebulan menyertai kelas ini kerana dahulu tidak berkesempatan. Lagipun saya sedang mengandung. Sesekali mendengar orang mengaji rasa terharu dan terbuka hati untuk membaca bersama,” katanya. Dia juga turut menerima sumbangan barangan bayi kerana bakal bersalin tidak lama lagi.

Bagi Pak Long, 62, yang berasal dari Kedah, mengakui ketika kecil belajar mengaji tetapi akhirnya terlupa apabila tidak lagi membaca dan melazimi ayat-ayat berkenaan.

“Dengan adanya kelas mengaji seperti ini, Pak Long dapat belajar sedikit sebanyak ilmu agama. Tadi Pak Long juga dapat juara kerana hafal surah-surah yang diperlukan,” tegasnya dengan gembira.

Pak Long mengakui keadaannya yang sudah agak uzur menjadikannya kini lebih tertumpu ke arah agama.

“Pak Long banyak menghabiskan masa di masjid-masjid untuk tumpang solat dan mendengar syarahan. Pak Long tiada siapa-siapa lagi, hidup sebatang kara,” katanya.

Begitu juga dengan Nik (bukan nama sebenar), 48, yang menjadi juara hafalan bahagian wanita yang memang sudah menghafal surah-surah berkenaan sejak dari kecil.

“Saya tahu perlunya agama dalam diri sebagai benteng jiwa. Itu yang saya cuba lakukan untuk diri sekarang dan masa akan datang,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN