HUKUMAN sebat atau lebih dikenali sebagai hukuman cambuk di Aceh, Indonesia memang menjadi perbincangan di beberapa negara. Kini, selain di Aceh, Terengganu antara sebuah negeri di Malaysia baru-baru ini juga telah melaksanakan hukuman sebat terhadap dua wanita atas kesalahan cuba melakukan hubungan seksual sesama jenis (lesbian) dalam kereta.
Pihak kami memberikan reaksi yang luar biasa kepada kerajaan negeri Terengganu dan khususnya kepada Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar dan rakan-rakannya dalam PPMM kerana sejak berkunjung hormat ke Dinas Agama Aceh dan mempelajari cara pelaksanaan hukuman sebat oleh Wilayatul Hisbah (penguat kuasa Aceh) pada 2010, PPMM konsisten memperjuang agar hukum Islam diterapkan bukan hanya di mahkamah syariah tetapi juga di mahkamah sivil.
PPPM tanpa henti menghantar wakilnya sekitar 2013, 2014, 2015 dan 2016 untuk mendalami ilmu berkaitan pelaksanaan Kanun Jinayat Aceh dan hukum Islam di Aceh.
Bukan untuk mengazabkan
Adalah perlu kita ketahui, tujuan hukuman sebat ini bukan untuk mencederakan atau memberi azab kepada pesalah jenayah melainkan untuk menjadi peringatan dan pencegahan kepada orang yang mempunyai niat melakukan perbuatan jenayah tersebut.
Di sisi lain, hukuman sebat ini juga wajar dijadikan sebagai pengawal sosial dalam kehidupan bermasyarakat demi mencegah terjadinya perbuatan jenayah.
Semasa pelaksanaan hukuman sebat ini, syarat khasnya adalah ia tidak boleh membahayakan orang yang dihukum kerana hukuman ini bersifat pencegahan, bukan untuk mencederakan.
Oleh kerana itu, hukuman sebat tidak boleh diteruskan jika pesalah sedang sakit dan hendaklah menunggu sehingga dia sembuh atau bagi pesalah wanita, jika mengandung perlu dilaksanakan hukuman itu selepas wanita tersebut melahirkan anak dan sihat sepenuhnya selepas melahirkan anak.
Demi menghindarkan sebarang bahaya terhadap pesalah, rotan yang digunakan juga hendaklah dalam keadaan kering kerana jika rotan tersebut basah sewaktu hukuman dijalankan, ia boleh mengakibatkan luka kepada orang yang disebat.
Oleh kerana itulah seperti yang diterangkan pada awal tadi bahawa hukuman sebat ini bukanlah untuk mencederakan orang yang dihukum, tetapi lebih kepada pengajaran dan pencegahan pada masa hadapan, di samping maruah serta diri pesalah tetap dijaga.
Komen sinis
Di Aceh juga, dalam penerapan dan pelaksanaan hukum jenayah syariah, terdapat komen-komen sinis yang mengatakan bahawa hukuman sebat tersebut tidak sesuai dengan peredaran zaman, namun komen-komen tersebut bukanlah daripada masyarakat Aceh sendiri, tetapi oleh kumpulan di luar sana, sedangkan masyarakat Aceh sangat menyokong pelaksanaan hukuman sebat dikenakan terhadap pesalah.
Justeru di Aceh, para pesalah jenayah yang bukan Islam diberikan kebebasan dan secara sukarela tanpa paksaan untuk memilih sama ada hendak diadili bawah hukum jenayah syariah atau Kitab Undang-undang Hukum Pidana yang mengguna pakai undang-undang jenayah awam.
Ini ternyata telah berlaku di Aceh di mana pesalah bukan Islam pertama yang memilih untuk dikenakan hukuman sebat secara Islam pada April 2016 kerana kesalahan menjual alkohol diikuti pula pada Mac 2017 pesalah bukan Islam memilih untuk menjalani hukuman sebat ini atas kesalahan berjudi sabung ayam dan pada 2018 ini juga terdapat pelaksanaan hukuman sebat ini yang dipilih oleh pesalah bukan Islam.
Kini, berdasarkan Kanun Jinayat Aceh iaitu Qanun Aceh No. 6 tahun 2014, hukuman sebatan di Aceh akan dilaksanakan terhadap pesalah jenayah yang berkaitan dengan kesalahan khamar (minuman yang memabukkan), maisir (judi), khalwat, ikhtilath (perlakuan tidak sopan antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram), zina, pelecehan seksual (cabul), pemerkosaan, qazaf (menuduh orang melakukan zina), liwat dan musahaqah (perlakuan seksual sumbang sesama wanita /lesbian).
Semoga undang-undang jenayah Islam terus mekar dilaksanakan di Aceh dan di negara-negara Islam yang lain.










