Street Dakwah USIM dekati komuniti - Utusan Malaysia

Street Dakwah USIM dekati komuniti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Proses mengenal erti sebuah kehidupan sememangnya tidak mungkin boleh diperoleh menerusi buku mahupun teori dalam dunia pembelajaran termasuk pada peringkat institusi pengajian tinggi semata-mata.

Sebaliknya, proses tersebut perlu digabungkan dengan pengalaman dalam dunia sebenar yang dilihat akan lebih membawa pengertian dan kefahaman, seterusnya mematangkan pemikiran untuk merencana urusan kehidupan seharian.

Lantaran itu, berbekalkan semangat untuk menabur bakti dan menimba pengalaman seramai 65 pelajar dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menganjurkan Program Jelajah Sukarelawan 2018: USIM Street Dakwah @ Kedah, baru-baru ini.

Naib Canselor USIM, Prof. Datuk Dr. Musa Ahmad berkata, program anjuran Pusat Kebudayaan USIM itu mendapat sokongan penuh dari Kerajaan Negeri Kedah dan pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kubang Rotan dan DUN Jitra.

Katanya, program yang melibatkan penjelajahan di beberapa buah sekolah yang terlibat itu turut melibatkan beberapa buah keluarga angkat dan bertujuan mendekatkan pelajar USIM dengan masyarakat dan membuka peluang kepada mereka merasai suasana kehidupan di desa, selain mempelajari budaya serta aktiviti harian penduduk.

“Kesemua peserta telah ditempatkan di rumah keluarga angkat masing-masing dengan hasrat untuk merapatkan hubungan antara pelajar USIM dengan penduduk kampung.

“Melalui cara ini kita dapat membina satu ukhuwah yang kukuh, seterusnya pelajar USIM dapat berkongsi pengalaman dan peluang pembelajaran di kolej.

“Melalui program seumpama ini diharapkan dapat mendatangkan manfaat dalam usaha USIM menyampaikan dakwah kepada komuniti selaras dengan falsafah universiti,”katanya.

Majlis perasmian penutup di DUN Jitra telah disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Kebajikan Masyarakat, Pembasmian Kemiskinan, Kedah, Halimaton Shaadiah Saad yang mewakili Menteri Besar Kedah, manakala Majlis penutup di DUN Kubang Rotan pula telah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan, Pembangunan Usahawan, Badan-Badan Bukan Kerajaan, Mohd, Asmirul Anuar Aris yang juga ADUN Kubang Rotan.

Penganjuran jelajah ini di DUN Kubang Rotan melibatkan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seberang Perak, Sekolah Kebangsaan (SK) Datuk Shaari dan SK. Kuala Kedah, manakala di DUN Jitra pula melibatkan SMK Bandar Baru Darul Aman, SK Jitra dan SK Sultan Ahmad Tajuddin.

Musa Ahmad memberitahu, dalam usaha mengeratkan hubungan antara pelajar dan masyarakat terutama komuniti kampung, bandar dan sekolah, sepanjang berkampung selama tiga hari dua malam itu, program tersebut diserikan lagi dengan pelbagai aktiviti, antaranya majlis ramah mesra, sukaneka, senam seni, fesrival seni.

Selain itu, santai masakan, pertandingan tradisional, sukan rakyat, kenduri sekampung dan lawatan ke pusat industri desa kampung.

Jelasnya lagi, Pusat Kesihatan USIM turut mengadakan pemeriksaan kesihatan percuma kepada penduduk kampung bagi mengesan penyakit kencing manis serta tahap obesiti, selain memberi khidmat nasihat tentang penjagaan kesihatan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN