IPOH – Ketua Jurulatih Perak, Chan Wing Hoong mendedahkan semangat juang tinggi skuad kendaliannya adalah faktor utama kebangkitan skuad The Bos Gaurus menewaskan Kedah 2-1 dalam acara bola sepak Sukan Malaysia (Sukma) 2018 di Stadium Perak kelmarin.
Skuad tuan rumah menepati ramalan selaku pasukan pilihan apabila bangkit daripada ketinggalan sebelum memadamkan kelebihan jaringan pertama Kedah dalam tempoh dua minit.
Bermula dengan jaringan sepakan percuma kapten Kedah, Mohd. Fadzrul Danel Mohd. Nizam pada minit ke-64, Perak kembali menyamakan kedudukan menerusi tandukan Alif Safwan Mohd. Sallahuddin berselang dua minit kemudian sebelum Muhammad Asyraaf Mat Pushni mengesahkan kemenangan bergaya tuan rumah dengan meledak gol pada minit ke-70.
Keputusan itu sekali gus menyaksikan Kedah gagal menamatkan penantian 32 tahun apabila kali terakhir memenangi pingat emas acara bola sepak Sukma ketika menewaskan Sarawak di Stadium Merdeka pada tahun 1986.
“Kami adalah king of comeback (raja kebangkitan). Anak-anak buah saya tidak menyerah kalah walaupun kami ketinggalan.
“Satu perlawanan yang bukan mudah dan saya memuji aksi para pemain kerana mereka menunjukkan semangat mahu menang. Apa yang jelas, pasukan yang memanfaatkan peluang akan menjadi pemenang.
“Ia satu kejayaan yang cukup manis apabila kami berjaya memenangi ibu emas di laman sendiri,” kata Wing Hoong pada sidang akhbar selepas tamat perlawanan kelmarin.
Perak muncul sebagai pasukan ketiga Sukma yang meraih pingat emas acara bola sepak secara hatrik, sekali gus mengulangi pencapaian Pahang (1992, 1994, 1996) dan Terengganu (2006, 2008, 2010).











