Semua pusat tahfiz tidak berdaftar di ibu negara akan ditutup - Utusan Malaysia

Semua pusat tahfiz tidak berdaftar di ibu negara akan ditutup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menutup semua pusat tahfiz yang didapati tidak berdaftar dengan pihak berkuasa dan beroperasi secara haram, kata Menteri Wilayah, Khalid Abdul Samad. 

Khalid berkata, ia bagi memastikan keselamatan dan kebajikan pelajar-pelajar terjamin serta imej institusi keagamaan Islam terpelihara. 

“Kami tidak mahu pusat-pusat tahfiz ini diberi kelonggaran hanya kerana ia institusi keagamaan, ia tetap juga perlu berdaftar dengan DBKL dan JAWI (Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan). 

“Kami juga akan mengetatkan syarat kepada sekolah-sekolah berasrama khususnya sekolah tahfiz bagi menjaga kualiti daripada aspek keselesaan dan keselamatan,” katanya kepada  pemberita selepas merasmikan Pusat Mediasi Komuniti Strata Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PMKS WPKL) di sini hari ini. 

Katanya, adalah menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk memeriksa status pusat-pusat tahfiz sekiranya berhasrat untuk menghantar anak-anak mereka ke institusi itu. 

“Selain itu, DBKL turut akan bekerjasama dengan JAWI memantau kesemua pusat tahfiz yang masih beroperasi di sekitar ibu kota. 

“Sekiranya didapati tidak berdaftar, kami tidak akan teragak-agak untuk menutupnya,” katanya. 

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mujahid Yusof Rawa berkata, pihaknya tiada kuasa untuk menutup tahfiz haram di Kuala Lumpur kerana ia di bawah kuasa DBKL. 

Ia susulan sebuah pusat tahfiz di Kepong yang mana pengetuanya ditahan polis kerana dipercayai meliwat sembilan pelajarnya berusia 11 hingga 16 tahun dan pusat tahfiz itu didapati beroperasi secara haram. – Bernama 
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN