BATANG SADONG 19 Sept. – Setelah tiga hari menumpang di rumah saudara, akhirnya seorang lelaki, Sari Mohd Ghani, 56, boleh menarik nafas lega apabila kerajaan negeri bersetuju membina semula rumahnya yang musnah terbakar di Kampung Lalang, Gedung di sini.
Berita gembira itu dimaklumkan kepada Sari oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gedong, Datuk Naroden Majais semasa melawat kampung tersebut untuk menyampaikan bantuan kepada beberapa penduduk yang terjejas dalam kebakaran tersebut.
Menurut Sari, dia yang tinggal bersendirian selepas bercerai dengan isteri terpaksa menumpang di rumah saudaranya selepas tinggal sehelai sepinggang dalam kebakaran yang memusnahkan rumahnya pada pukul 3.45 pagi, kelmarin.
“Alhamdulillah, saya merasa begitu syukur sekali apabila diberitahu ADUN Gedong yang beliau akan membantu membina rumah baharu untuk saya,” katanya pernah dua kali mendirikan rumah tangga dan mempunyai lima anak.
Sementara itu, Naroden yang juga Menteri Muda Pembangunan Usahawan, Perusahaan Kecil dan Sederhana dan E-Dagang negeri memberitahu, kos pembinaan semula rumah Sari adalah berjumlah kira-kira RM20,000.
Beliau berkata, pembinaan rumah itu dijangka dapat disiapkan dalam tempoh sebulan.
Menurutnya, selain Sari, beliau pernah juga memberikan bantuan membina rumah baharu kepada beberapa penduduk lain di bawah kawasan yang diwakilinya itu.
“Ini (bantuan) adalah inisiatif saya sebagai ADUN Gedong dan kerajaan negeri dalam usaha meringankan beban penduduk yang ditimpa malapetaka atau yang tidak memiliki rumah,” katanya.
Dalam lawatan itu, Naroden turut menyampaikan sumbangan peribadi kepada Sari dan jirannya, Zulkifli Jeli yang rumahnya terjejas sedikit dalam kebakaran tersebut. – UTUSAN ONLINE










