Remaja warga Thailand dikhuatiri lemas di Air Terjun  Lubuk Kain - Utusan Malaysia

Remaja warga Thailand dikhuatiri lemas di Air Terjun  Lubuk Kain

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNGUN – Seorang remaja warganegara Thailand dikhuatiri lemas ketika mandi di Air Terjun Lubuk Kain, Hulu Dungun dekat sini hari ini. 

Dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang itu, Sufar Jehteh, 18, bersama lima rakan lelaki serta enam perempuan mengunjungi kawasan perkelahan tersebut sebelum dia disyaki terjatuh ke dalam lubuk air terjun. 

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Al-Mukhtafi Bilah Shah, Jaswari Awang berkata, sewaktu kejadian remaja terbabit bersama tiga lagi rakannya dikatakan berada di atas batu di kawasan lubuk air terjun untuk mandi. 

Memuatkan artikel berkaitan…

“Tiga rakan mangsa turun semula ke tempat perkelahan untuk makan tengah hari namun remaja terbabit tidak turut serta. 

“Tidak lama kemudian, rakan-rakannya mula menyedari mangsa tidak muncul dan mengambil keputusan untuk naik semula ke kawasan lubuk itu serta mencari di sekitar kawasan perkelahan namun gagal menemui mangsa,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini. 

Jelas Jaswari, majikan mangsa yang turut menyertai perkelahan itu bertindak memaklumkan kejadian tersebut kepada penduduk kampung sebelum menghubungi pihak bomba.

Katanya, seramai enam pegawai dan anggota dikerahkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pada pukul 4.15 petang. 

“Anggota telah melakukan pencarian awal di sekitar kawasan lubuk ini merangkumi keluasan kira-kira satu kilometer persegi namun gagal menemui mangsa. 

“Kita turut meminta bantuan daripada Unit Selam Skuba BBP Kuala Terengganu dan Kuala Berang dalam operasi mencari mangsa namun pelbagai faktor harus diambil kira seperti keadaan air deras selepas hujan yang dibimbangi menyukarkan anggota penyelam,” ujarnya. 

Sehingga pukul 9 malam, usaha mencari mangsa masih belum berhasil – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini