SEVILLE 27 Sept. – Real Madrid tumpas mengejut setelah dibelasah Sevilla 0-3, hari ini, dan kekalahan itu merupakan yang pertama dalam aksi La Liga sejak berada di bawah kendalian jurulatih, Julen Lopetegui.
Kekalahan tersebut menyaksikan Los Blancos gagal memanfaatkan peluang keemasan ke atas Barcelona yang turut ditimpa nasib serupa apabila tewas mengejut 1-2 di Leganes.
Penyerang Portugal, Andre Silva memberikan Sevilla permulaan yang sempurna menentang juara Eropah itu menerusi jaringannya dari jarak dekat pada minit ke-17 selepas berebut bola dengan pertahanan yang tidak berada pada prestasi sebenar, Marcelo dan pemain tengah, Casemiro.
Pemain pinjaman dari AC Milan itu sekali lagi menggegar gawang Real hanya empat minit berselang selepas kesilapan dilakukan penjaga gol, Thibaut Courtois, untuk gol keenamnya musim ini dan dia mengatasi Lionel Messi sebagai penjaring terbanyak di Sepanyol, walaupun Gareth Bale hampir sahaja merapatkan jurang gol tetapi rembatannya mengenai palang.
Sevilla sebelum ini telah membelasah Levante 6-2 dalam perlawanan terakhir mereka dan kelab itu tidak berhenti melancarkan gerakan bahaya sepanjang babak pertama menentang Real. – REUTERS










