Puteri tak ’angkat kaki’ - Utusan Malaysia

Puteri tak ’angkat kaki’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

SELEPAS hampir lima bulan Barisan Nasional (BN) kalah pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, nampaknya ramai pemimpin UMNO tidak mampu bertahan. Bukan hanya ahli biasa, tetapi mereka adalah pemimpin yang boleh dikatakan ‘hidup dan mati’ hanya untuk UMNO.

Tetapi benarlah kata orang, dalam politik tidak ada yang realistik. Mereka akan berkata apa sahaja bagi ‘menghalalkan’ tindakannya. Jika hari ini boleh bercakap soal kesetiaan, kemungkinan esok ‘setia’ itu entah ke mana.

Dan buat pertama kalinya selepas 72 tahun, UMNO akan mengadakan Perhimpunan Agungnya tanpa memegang tampuk kuasa pemerintahan kerajaan. Suasananya pasti berbeza. Sama ada semua perwakilan hadir dalam semangat untuk bangkit atau masih lemah meratapi kekalahan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Namun, masa depan UMNO terletak di bahu barisan kepemimpinan baharu termasuk pergerakan sayap Pemuda, Wanita dan Puteri selepas mereka dilantik pada pemilihan parti Jun lalu. Bagi Ketua Pergerakan Puteri, DATUK ZAHIDA ZARIK KHAN, beliau bersama lebih 400,000 ahli sayap itu akan terus berkhidmat kepada rakyat kerana percaya mereka menolak BN kerana terperdaya dengan janji-janji manis Pakatan Harapan (PH) dalam manifesto mereka.

“Kita masih kukuh, kekuatan datang daripada roh perjuangan kami sendiri,” kata Zahida, 39, kepada wartawan Utusan Malaysia, MAISARAH SHEIKH RAHIM baru-baru ini.
 

UTUSAN: Dalam tempoh lima bulan selepas kekalahan BN pada PRU-14 lalu, Pergerakan Puteri nampak agak ‘senyap’ sehingga mengundang rasa pelik dalam kalangan sesetengah pihak. Adakah Puteri masih meratapi kekalahan atau sedang dalam usaha pemulihan bagi membantu parti bangkit?

ZAHIDA: Jika bukan dalam kalangan ahli parti, ini tandanya mereka rindu kehadiran Puteri. Tidak dinafikan, Puteri sememangnya agresif dalam memberi khidmat kepada rakyat. Sebab itu orang nampak kehadiran Puteri di mana-mana. Jadi apabila kita bukan lagi parti yang memerintah, khidmat Puteri semestinya akan terjejas, namun gerak kerja kempen kami tetap berjalan yang boleh dilihat semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis dan Seri Setia tempoh hari. Insya-Allah kita akan teruskan khidmat kepada rakyat setakat termampu.

Situasi politik tanah air ketika ini kita lihat ramai gadis muda lebih cenderung memilih PH dan tidak terkejut kalau ada yang mula mendekati DAP terutama semasa kempen PRK DUN Balakong dan mungkin juga ada ahli Puteri sudah mula angkat kaki. Komen Datuk?

Puteri akui yang rakyat menolak UMNO/BN pada PRU lepas. Namun kami muhasabah, akui kelemahan dan tetap prihatin dengan isu-isu rakyat. Terutamanya penipuan bersiri oleh kerajaan Malaysia Baharu. Tidak tepat jika mendakwa ahli Puteri sudah angkat kaki, sebaliknya kita masih kukuh, cuma mungkin ada yang lebih low profile atas faktor-faktor tersendiri.

Adakah Puteri ketandusan gadis-gadis muda yang berkaliber dalam semua lapangan?
Tidak. Ini dibuktikan dalam pemilihan baru-baru ini. Ramai wanita muda di bawah 30 tahun menawarkan diri untuk jawatan di peringkat pusat dan bahagian. Di bawah kepimpinan saya juga meraikan semua kumpulan usia Puteri yang terdiri daripada profesional, mahasiswa, aktivis, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan ramai lagi.

Di saat ada antara pemimpin UMNO meninggalkan parti, apa kekuatan Puteri untuk meyakinkan ahli?
Pemimpin datang dan pergi. Alhamdulillah ahli-ahli Puteri masih kekal dalam saf perjuangan. Kekuatan datang daripada roh perjuangan mereka sendiri. Saya juga sudah turun dan akan terus mendekati ahli-ahli di bawah agar motivasi serta semangat kami kekal.

Berapakah jumlah sebenar keahlian Puteri? Kalau betul dikatakan berjumlah lebih 400,000 ahli, mengapakah sentimen pengundi muda tidak diterjemahkan semasa PRU-14 lalu yang dikatakan ramai kalangan pengundi muda memihak kepada PH?

Pengundi tidak berpihak kepada BN atas pelbagai faktor. Antaranya kerana mereka terperdaya dengan janji-janji manis PH dalam manifesto seperti menghapuskan cukai barang dan perkhidmatan (GST), menangguhkan hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), menghapuskan tol, menurunkan harga petrol dan lain-lain yang akhirnya menjadi harapan palsu. Akhirnya mereka sendiri menyesal.

Menjelang Perhimpunan Agung UMNO tidak lama lagi, suasananya pasti berbeza apabila UMNO tidak lagi berkuasa. Apa hala tuju dan pembaharuan yang Puteri akan bawa semasa persidangan nanti?
Suasana mungkin berbeza memandangkan kita bukan lagi kerajaan. Tetapi semangat untuk berhimpun itu tetap ada. Hala tuju dan pembaharuan? Tunggu ucapan saya dalam persidangan Puteri nanti.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini