Potret daripada kekunci mesin taip - Utusan Malaysia

Potret daripada kekunci mesin taip

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JIKA orang lain menggunakan mesin taip untuk menaip surat atau dokumen berbeza pula kisah Chandrakant Bhide, 72, yang menghasilkan potret menerusi mesin tersebut.

Lelaki yang tinggal di Mumbai, India itu menggunakan mesin manual untuk menghasilkan potret figura terkenal dunia.

Antara potret yang dihasilkan oleh Bhide ialah ahli politik, bintang filem, watak animasi dan simbol agama.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sehingga kini, Bhide menghasilkan 150 karya menggunakan mesin taip sejak setengah dekad lalu.

“Saya telah banyak menghasilkan potret personaliti terkenal seperti Mahatma Gandhi, Jawaharlal Nehru, Indira Gandhi, Charlie Chaplin, Laurel dan Hardy.

“Melukis menggunakan mesin taip merupakan hobi dan kesukaan saya,” katanya.

Bhide telah mengadakan 12 pameran untuk mempamerkan hasil karyanya. Dia menjadi selebriti tempatan sejak menemui bakat unik itu pada akhir tahun 1960 ketika dia bekerja sebagai kerani bank.

Mengimbau usia mudanya, Bhide ingin ke sekolah seni dan menjadi artis komersial tetapi kemiskinan menyebabkan keluarganya tidak mampu menanggung kos pembelajaran itu.

Kekunci

Bagaimanapun, dia dilatih untuk mahir dalam stenografi iaitu cara penulisan pantas.

Ketika Bhide bekerja di Jabatan Pentadbiran Bank Union India pada tahun 1967, majikannya meminta dia untuk menaip senarai nombor interkom kakitangan.

“Saya menaipnya dalam bentuk telefon dan merasakan ia boleh dihasilkan seni yang hebat. Dari situlah bermula karya seni saya dengan medium ini,” ceritanya.

Bhide pada mulanya menggunakan kekunci X untuk menghasilkan imej tuhan Hindu iaitu Ganesha bagi menandakan perayaan tahunan India yang meraikan dewa berkepala gajah.

Dia kemudiannya bereksperimentasi dengan kekunci yang lain termasuk W dan pelbagai simbol termasuklah tanda peratus untuk menghasilkan potret selebriti di India dan luar negara.

Walaupun Bhide mengambil masa 15 minit untuk melukis Ganesha tetapi dia memerlukan beberapa jam untuk menyempurnakan wajah insan terkenal itu dengan kerja tangan.

Akuinya, bagi menghasilkan karya tersebut, tumpuan harus diberikan sepenuhnya.

Dia akan berhenti setiap kali mahu mengubah sudut halaman dan menaipnya semula.

Bagi memastikan warna potret itu tersusun indah, dia akan menukar beberapa rona setiap kali menaip dan lebih kerap memandang ke bawah bagi memastikan tiada kesilapan.

“Menaip memerlukan dedikasi dan tumpuan. Jika anda meletakkan satu strok di tempat yang salah maka anda, perlu mengulanginya semula.

“Ia tidak seperti komputer yang membolehkan anda memperbaiki kesilapan itu.

“Banyak kali saya membuat kesilapan dan terpaksa bermula semula,” tuturnya.

Hasil karya tersebut mendapat perhatian daripada pelakon-pelakon dari India selama bertahun-tahun termasuklah Amitabh Bachchan dan Dilip Kumar.

Liputan

Begitu juga watak-watak kartun Amerika seperti Mickey Mouse and Archie.

Pemain-pemain kriket paling banyak dihasilkan olehnya seperti Brian Lara and Sachin Tendulkar.

Bagi menghasilkan rambut kerinting, Bhide menggunakan ribuan simbol @.

Bhide yang tidak menjual hasil seni atau menerima tempahan mendapat liputan hangat daripada beberapa akhbar di negara itu yang memaparkan banyak potret bintang filem India dihasilkan olehnya.

Dia turut merancang untuk menghasilkan potret Donald Trump, Ratu Britain Elizabeth II dan Perdana Menteri India, Narendra Modi pada masa akan datang.

Kesemua karya itu dihasilkan dengan mesin taip yang sama ketika dia bekerja di Bank Union tiga dekad lalu.

Bank itu memberikan mesin tersebut sebagai hadiah persaraan pada pertengahan tahun 1990-an.

“Saya telah mendapat begitu banyak manfaat daripada mesin taip ini.

“Menaip adalah seni,” ujarnya. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini