KUNMING 27 Sept – Polis berjaya menumpaskan jenayah aktiviti pornografi secara langsung dalam talian dengan tertangkapnya 185 ahli geng itu di China dan Filipina.
Lapor Xinhua, Biro Keselamatan Awam Yunnan mengesahkan geng itu menggunakan pelayan Internet (server ) di Filipina untuk menubuhkan dua platform pornografi secara langsung dalam talian dan merekrut pekerja seks dan pengurus di China.
Menurut siasatan polis, geng itu menerima lebih daripada AS $ 14.5 juta (RM60 juta) dari video dalam talian, yang mencapai 31 wilayah di China.
Polis berkata, mereka telah menghabiskan lapan bulan bagi kes itu, memberkas geng tersebut di Beijing, Shanghai, Guangdong, Fujian, Guizhou dan Sichuan.
Mereka telah menyekat 350 klip video lucah dan merampas peralatan termasuk 45 telefon dan 25 komputer.
Dengan kerjasama polis Filipina, polis Yunnan ke Filipina pada Ogos lalu untuk menangkap 17 suspek termasuk pemimpin geng tersebut dikenali sebagai Yin.- BERNAMA











