JOHOR BAHRU 21 Sept. – Polis menambak mati dua penjenayah warga asing dalam satu kejadian di Bukit Batu, Jalan Sedenak, Kulai dekat sini pada pukul 4.15 pagi ini.
Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Kamarudin Md. Din berkata, kedua-dua penjenayah itu melarikan diri daripada polis dengan sebuah Proton Waja selain turut melepaskan tembakan ke arah polis.
Katanya, polis mula mengesan dan mengejar mereka bermula di Taman Manis, Kulai selama kira-kira 30 minit.
“Bagi mempertahankan diri, polis bertindak membalas tembakan penjenayah tersebut sebelum kenderaan dinaiki mereka terbabas.
“Siasatan dalam kenderaan dibuat mendapati kedua-dua penjenayah tersebut telah tumpas,” katanya dalam sidang akhbar yang diadakan di lokasi, sebentar tadi.
Beliau turut memaklumkan kedua-dua suspek tersebut aktif dengan jenayah mereka sejak enam bulan lalu terutamanya di sekitar Johor Bahru, Kulai dan Pontian. – UTUSAN ONLINE










