Polis rampas 1,019 tin, 392 botol arak termasuk jenama Mandalay dan Kingfisher - Utusan Malaysia

Polis rampas 1,019 tin, 392 botol arak termasuk jenama Mandalay dan Kingfisher

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM – Kegiatan dua buah premis menjual arak haram termasuk jenis wiski Mandalay dan bir Kingfisher sejak enam bulan tumpas dalam dua serbuan Op Methanol di Taman Sri Muda malam tadi. 

Dalam serbuan pukul 9 malam itu, sebanyak 1,019 tin dan 392 botol dirampas berjumlah RM15,000.

Turut ditahan dalam operasi berkenaan adalah dua pekerja masing-masing warga tempatan dan Myanmar berusia 28 dan 31 tahun.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharuddin Mat Taib berkata, operasi itu susulan kes sekumpulan individu yang maut selepas meminum arak haram. 

Katanya, berdasarkan siasatan awal arak berkenaan dijual pada kadar harga RM6 hingga RM8 bagi tin serta RM20 bagi botol.

“Hasil siasatan awal, arak-arak berkenaan dijual di kawasan bangunan rumah kedai sejak enam bulan lalu. 

“Antara arak yang dirampas termasuk jenama Mandalay, Kingfisher, Club 99, Hollander, Classe Royale dan Atlas,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini. 

Jelas beliau, kesemua sample arak berkenaan akan dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis bagi mengetahui kandungan arak tersebut sama ada berbahaya atau tidak. 

“Polis juga berjaya mendapat perintah tahanan reman terhadap seorang suspek warga tempatan selama tiga hari bermula hari ini manakala warga myanmar itu selama dua minggu bermula hari ini mengikut Akta Imigresen.

“Kes kini disiasat mengikut Seksyen 135 Akta Kastam,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN