ENTAH apa yang ada dalam fikirannya. Sudah berkali-kali ditanya dan didesak, tapi reaksinya cukup mengecewakan. Angguk dan kemudiannya perkara tersebut berlalu begitu sahaja.
Entah apa yang susah sangat hendak bertindak. Perkara yang berlaku bukan lagi rahsia. Bahkan keluarga saya dan keluarganya sudah tahu termasuk isteri pertamanya!
Tapi… kenapa dia masih tidak mahu mendaftarkan perkahwinan kami.
Ya, memang pada awalnya perkahwinan ini berlaku secara rahsia. Kami berdua ke sempadan Thailand untuk bernikah setelah mendapat tentangan keluarga. Saya ikut nasihatnya untuk tidak mendaftarkan perkahwinan sebaik sahaja pulang ke tanah air. Alasannya, bagi semuanya reda. Tidak mahu dikusutkan dengan perkara-perkara mengundang kemarahan isteri pertama.
Tetapi sudah tiga tahun tempoh perkahwinan kami. Apa yang pasti, isteri pertama pun dah tahu yang dia telah dimadukan oleh suaminya. Apa lagi yang perlu ditunggu?
Mujur, perkahwinan kami tidak dikurniakan anak lagi. Jadi tidak timbul isu pendaftaran anak untuk dibinkan atau dibintikan dengan siapa. Soalnya, apa yang menghalangnya untuk berbuat demikian?
Isteri pertama menghalangnya? Saya tak fikir begitu. Sebagai lelaki dan ketua untuk dua keluarga, sewajarnya dia lebih bersifat adil. Tiada apa lagi yang perlu disorokkan dan ditakuti.
Pernah saya memberanikan diri bertemu dengan isteri pertama dan merayu agar dia membenarkan si suami mendaftarkan perkahwinan kami. Jawapan yang diterima:
“Itu bukan urusan saya. Perkahwinan kamu berdua adalah kehendak kamu berdua. Maka kamu berdua yang sepatutnya menyelesaikannya.”
Saya tahu, saya bukanlah orang yang diterima dalam keluarga isteri pertama apatah lagi keluarga suami. Perkahwinan saya dengannya mendapat tentangan kuat daripada kedua-dua keluarga tersebut. Namun kami teruskan hasrat tersebut dan si suami berjanji untuk menjaga dan bersikap adil kepada saya.
Janjinya saya pegang dan saya yakin 100 peratus bahawa suami tidak akan menganiayai saya. Apa lagi yang diharapkan oleh seorang isteri melainkan keperluannya dilaksanakan dengan baik. Dan kini keperluan yang amat diperlukan ialah pendaftaran perkahwinan saya!
Saya khuatir dan cukup bimbang, andai ditakdirkan suami dijemput Allah terlebih dahulu, bagaimana dengan nasib dan hak saya yang berstatus isteri sah, cuma tidak didaftarkan di mana-mana pejabat agama?
TIP KAUNSELOR
- Pasangan yang bernikah di sempadan mahupun luar negara perlu mendapatkan pengesahan surat nikah dari Konsulat Malaysia di negara tersebut bagi memastikan pernikahan tersebut dilakukan oleh mereka yang bertauliah bukannya sindiket.
- Salah satu pihak perlu mengemukakan surat pengesahan pernikahan ke mahkamah syariah bagi menentukan status pernikahan, seterusnya mendaftarkan pernikahan mereka di pejabat agama negeri masing-masing.
- Jangan menganiayai pasangan anda dan bersikap pentingkan diri kerana kecuaian akan menyusahkan pihak-pihak lain.
- Setiap pasangan yang berhasrat bernikah di sempadan mahupun luar negara perlu memastikan urusan pernikahan itu mendapat pengiktirafan daripada pihak berkuasa negara tersebut.
- Jika salah seorang pasangan meragui status pernikahan mereka, buat aduan secepat mungkin ke mahkamah syariah.
PANDANGAN KAUNSELOR
Isu kegagalan mendaftarkan perkahwinan yang berlaku di sempadan negara mahupun di luar negara perlu dipandang serius oleh semua pihak. Keengganan atau gagal untuk berbuat demikian, bakal menimbulkan implikasi besar terhadap perkahwinan itu sendiri, lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan persoalan sah atau tidak pernikahan tersebut?
Hari ini ramai yang mengambil jalan mudah apabila mengambil ejen sindiket perkahwinan untuk memudahkan urusan mereka.
Perlu dimaklumi, menggunakan wali hakim untuk bernikah di sempadan memerlukan dua perkara yang akan menentukan sah atau tidak pernikahan tersebut.
- Memastikan wali hakim yang dilantik mendapat tauliah daripada pihak berkuasa negara tersebut. Jika tidak, pernikahan tersebut tidak sah dan perhubungan setelah pernikahan itu adalah haram.
- Jarak antara tempat bermastautin dengan lokasi pernikahan hendaklah melebihi dua marhalah (92 kilometer). Sekiranya jarak tersebut tidak sampai had tersebut, maka wali hakim tidak boleh digunakan.
Kembali pada persoalan di atas, pasangan yang telah bernikah di luar negara atau sempadan negara perlu bertanggungjawab untuk mendaftarkan perkahwinan mereka sekalipun terpaksa dihukum dengan denda sebanyak RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan setiap seorang.
Disarankan, andai si suami enggan atau gagal mendaftarkan perkahwinan, isteri boleh berbuat demikian dengan mengemukakan surat pernikahan yang diperoleh ke mahkamah syariah bagi menentukan status perkahwinan mereka terlebih dahulu. Ini penting bagi menghalalkan hubungan mereka sebagai suami dan isteri.
Sesuatu yang menyedihkan, apabila pengesahan gagal dibuat, maka ia akan mendatangkan implikasi ke atas status anak-anak yang lahir.
Justeru bagi setiap pasangan yang mengambil keputusan untuk bernikah di sempadan atau luar negara, perlu tahu hak masing-masing kerana ia bukan sahaja melibatkan isu-isu perundangan tetapi yang lebih penting ialah isu halal haram dalam perhubungan.
Perkara ini perlu diambil tahu oleh setiap pasangan yang bernikah di luar negara sekiranya gagal mendaftarkan pernikahan mereka:
- Tiada sebarang rekod pernikahan di mana-mana pejabat agama Islam di Malaysia.
- Kesukaran membuat sijil lahir anak-anak.
- Kesukaran mendaftarkan persekolahan anak-anak.
- Kesukaran membuat sebarang tuntutan berkaitan soal pernikahan, perceraian mahupun tuntutan harta.
- Kesukaran menuntut hak nafkah.
Oleh itu jangan biarkan diri dianiayai.









