KUALA LUMPUR 20 Sept. – Syarikat perniagaan milik keluarga dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Malaysia paling kurang berkeyakinan menggunakan teknologi baharu di rantau Asia Tenggara pada skala 7.24 (skala 10 paling yakin).
Berdasarkan kaji selidik oleh Unit Kepintaran The Economist, Malaysia juga paling tidak yakin dalam membangunkan kemahiran dan keupayaan mencari bakat baharu pada skala 7.28.
Pengarah Editorial Global Rangkaian Korporat The Economist, Andrew Staples berkata, India mencatatkan purata skala keyakinan tertinggi sebanyak 8.59 diikuti Filipina (8.29), Thailand (8.26), Indonesia (8.21) dan Singapura (7.44).
Katanya, berlagak sombong dan tidak mengikuti perkembangan semasa antara punca mengapa rata-rata PKS Malaysia masih berada di takuk lama.
“Perniagaan di Malaysia tidak boleh bergantung kepada rangkaian dan kesetiaan pelanggan sedia ada semata-mata sebaliknya perlu meneroka peluang di dalam ekonomi digital.
“PKS perlu membuktikan bahawa mereka celik digital dan inovasi supaya dapat mentransformasikan perniagaan dan bersaing di peringkat antarabangsa,” katanya dalam taklimat media di sini hari ini.
Yang turut hadir, Naib Presiden Pembangunan Perusahaan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), G. Gopi.










