Perpaduan, legasi Usman Awang - Utusan Malaysia

Perpaduan, legasi Usman Awang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KETOKOHAN Sasterawan Negara, Datuk Dr. Usman Awang yang terkenal dengan nama pena ‘Tongkat Warrant’ sebagai legenda puisi tanah air sebenarnya turut memupuk semangat integrasi nasional dalam kalangan rakyat berbilang kaum.

Anak kelahiran Kuala Sedili, Kota Tinggi, Johor ini meninggal dunia pada 29 November 2001. Allahyarham banyak meninggalkan karya besar dalam genre drama, puisi dan cerpen yang turut menyumbang ke arah perpaduan dan toleransi antara kaum sehingga ke hari ini. Antara drama terkenal beliau ialah Uda dan Dara, Matinya Seorang Pahlawan, Tamu di Bukit Kenny dan Menyerahnya Seorang Perempuan.

Legasi Usman terus menjadi ikutan, teladan dan sumber aspirasi bagi kebanyakan rakyat Malaysia. Tema perhubungan antara kumpulan etnik dalam usaha menegakkan persefahaman begitu terserlah dalam sajak beliau seperti Anak Jiran Tionghua, Pemuda dan Gadis Tionghua, Penjual Pisang di Kaki Lima dan Kambing Hitam.

Tema perpaduan itu diperluaskan lagi darjatnya oleh Usman iaitu ke arah perdamaian abadi seluruh dunia berasaskan persaudaraan sejagat antara sesama manusia.

Ruang lingkup tema perpaduan ini dapat dikesan melalui sajaknya, Merpati Putih Jelajahilah Dunia ini, Khabar Dari Asia, Kekallah Perdamaian, Damai Sejahtera, Dunia yang Senyum dan Konggo.

Walaupun beliau sudah meninggal dunia 17 tahun lalu, namun legasi ketokohan Usman dalam usaha mempromosi tema perpaduan antara kaum tidak terhenti begitu sahaja.

Sehubungan itu, Yayasan Usman Awang (YUA) telah ditubuhkan pada 15 Mei 2014 hasil inisiatif sahabat-sahabat beliau yang berbilang etnik dalam dunia sastera dan persuratan.

Pengerusi Yayasan Usman Awang, Dr. Syed Husin Ali menjelaskan, yayasan itu ditubuhkan bertujuan untuk memperluaskan penghayatan karya-karya dan pemikiran Usman Awang demi perpaduan dan kemanusiaan melalui sastera dan seni budaya.

Antara aktiviti Yayasan Usman Awang termasuklah Anugerah Integrasi Nasional Usman Awang (AINUA), penerbitan semula karya-karya Usman Awang dan pengumpulan bahan-bahan yang berkaitan dengan Usman Awang selain memperkayakan Pusat Sumber Usman Awang untuk rujukan orang ramai.

Buat kali ketiga, yayasan itu akan menganjurkan acara dwitahunan AINUA 2019 yang turut membuka peluang kepada orang ramai untuk mencalonkan individu dan pertubuhan bagi merebut anugerah berprestij itu yang menawarkan hadiah wang tunai RM15,000 bagi setiap kategori individu dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Pencalonan bagi merebut anugerah ikon perpaduan ini sudah dibuka sejak awal September 2018 sehingga tarikh tutup pada 31 Disember depan.

“Tujuan utama program penganjuran AINUA ini untuk memberi pengiktirafan dan penghormatan kepada mereka yang berusaha dan berjasa dalam mengeratkan persahabatan kaum demi perpaduan dan integrasi nasional,” kata Syed Husin ketika berkunjung ke ibu pejabat Utusan Melayu, baru-baru ini yang turut dihadiri Haslina Usman (anak sulung Usman Awang) dan Setiausaha Agung Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia (Huazong), Prof. Datuk Dr. Chin Yew Sin.

Menurut Syed Husin yang juga Pengerusi AINUA, mana-mana individu dan pertubuhan yang mempunyai platform perjuangannya mengeratkan hubungan sesama kaum di negara ini dalam apa jua bidang pekerjaan, minat, bakat dan aktiviti harian yang bersesuaian dengan semangat kasih sayang serta integrasi nasional yang terdapat dalam karya agung Sasterawan Negara Usman Awang boleh dicalonkan.

“Dalam karya-karya Usman Awang terdapat nilai-nilai yang mendorong persahabatan, kasih sayang dan integrasi nasional. Kita mengharapkan pemenangnya seorang tokoh yang mencerminkan nilai-nilai tersebut.

“Katakanlah jika pemenang itu seorang penyajak, sajak itu mestilah mencerminkan nilai-nilai tersebut. Tetapi mungkin tak cukup dengan sajaknya macam mana dengan peribadinya, hidupnya, interaksinya. Kita harap dapat mencari pemenang yang benar-benar mencerminkan nilai-nilai dan syarat yang telah ditetapkan AINUA,” katanya.

Antara objektif Anugerah Integrasi Nasional Usman Awang adalah untuk memberi sanjungan dan penghargaan kepada perseorangan (individu) dan NGO atau organisasi lain yang berdaftar yang telah menyumbang jasa dalam perpaduan dan integrasi nasional.

Kedua, menggalakkan lebih ramai individu dan juga badan bukan kerajaan serta lain-lain organisasi untuk menyumbang jasa bagi memperkasa perpaduan dan integrasi nasional negara.

Ketiga, memupuk semangat perpaduan dan integrasi dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Melalui penganugerahan ini, diharapkan semangat Usman Awang mengenai integrasi nasional dapat dipupuk dan keharmonian serta perpaduan kaum dapat diperkasa secara lebih hebat lagi,” kata Syed Husin lagi.

Majlis penyampaian AINUA 2019 dijangka akan diadakan pada 12 Mac 2019 sempena Sambutan Hari Puisi Sedunia. Majlis gilang gemilang itu dijangka akan dihadiri oleh Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri.

Yew Sin yang mewakili Huazong turut menjalin kerjasama dalam usaha menjayakan AINUA 2019 berpendapat bahawa usaha-usaha ke arah perpaduan kaum perlu diperhebatkan lagi sepertimana yang telah dicetuskan oleh Usman Awang serta rakan-rakannya dalam kalangan masyarakat Cina.

Menurutnya, isu perpaduan kaum menjadi topik hangat sejak Pilihan Raya Umum Ke-13 dan perlu dipereratkan lagi supaya rakyat berbilang kaum di negara ini terus kekal hidup dalam aman dan harmoni.

“Sejak PRU-13, polarisasi kaum di negara ini makin teruk dan ini memerlukan usaha pelbagai pihak bagi mengembalikan perpaduan yang erat dalam kalangan kaum di negara ini dan salah satunya diharapkan melalui pertandingan AINUA,” katanya.

Menurut Yew Sin lagi, tujuan utama anugerah AINUA adalah untuk menerapkan kembali sikap saling hormat menghormati antara satu sama lain terutama dalam kalangan generasi muda selain meningkatkan intergrasi kaum dalam kalangan masyarakat Malaysia keseluruhannya.

Selain menganjurkan anugerah AINUA, Yayasan Usman Awang juga mengadakan program-program sastera dan seni budaya yang bertujuan mengeratkan integrasi nasional serta menyuburkan nilai-nilai kemanusiaan dari semasa ke semasa.

Antara aktiviti yang dijalankan oleh Yayasan Usman Awang ialah menganjurkan ‘Malam Mengenang Kasih Sasterawan Negara Usman Awang’ acara yang julung kali diadakan pada 12 Julai lalu sempena memperingati hari kelahiran Usman Awang. Usman dilahirkan pada 12 Julai 1929.

Bagi menambah dana, pihak yayasan itu juga turut mengeluarkan setem khas menerusi jualan ‘Setem Ku A. Samad Said’. Harga satu helaian setem hanya RM31.00 termasuk kos penghantaran. Keistimewaan setem ini boleh digunakan untuk mengepos ke seluruh dunia kecuali Israel.

Orang awam atau badan korporat yang berminat untuk mencalonkan anugerah AINUA serta mendapatkan ‘Setem Ku’ berwajah Datuk A. Samad Said boleh menghubungi Sekretariat Yayasan Usman Awang di talian 03-21413476 (Shimah / Ain) atau menghantar e-mel kepada [email protected].

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN