KOTA KINABALU – Kementerian Pembangunan Infrastruktur Sabah bercadang menghentikan operasi laluan kereta api menghubungkan antara Kota Kinabalu ke Beaufort sehingga penghadang di kesemua laluan kereta api seliaan Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS) berfungsi.
Menterinya, Datuk Peter Anthony berkata, cadangan itu akan dilaksanakan setelah menerima laporan JKNS mengenai keupayaan jabatan memastikan kesemua penghadang dari stesen Kota Kinabalu di sini sehingga Kinarut dapat beroperasi.
Menurut Peter, sekiranya terdapat palang di sekitar Kota Kinabalu tidak berfungsi, kementerian terpaksa mengarahkan JKNS menghentikan operasi laluan kereta api dan menjadikan stesen Kinarut sebagai stesen terakhir.
Berita berkaitan:
“Palang di kesemua laluan kereta api menghubungkan antara Kota Kinabalu sehingga Beaufort sepatutnya berfungsi kecuali terdapat kegiatan vandalisme atau kerosakan kabel yang mengundang kepada kegagalan palang untuk turun.
“Setakat ini kita sedang melihat keperluan untuk menghentikan operasi kereta api menghubungkan antara Kota Kinabalu ke Beaufort dengan menjadikan stesen kereta api Kinarut sebagai stesen terakhir,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas hadir di pertemuan bersama Menteri Belia dan Sukan di Pejabat Kementerian Belia dan Sukan di Wisma Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) di sini hari ini.
Mengulas mengenai kejadian kemalangan melibatkan sebuah Proton Preve dan kereta api di Tugu Petagas di sini semalam, Peter berkata, sebuah pasukan penyiasat telah ditubuhkan bagi mengenal pasti punca kegagalan palang di lokasi kejadian tidak berfungsi.
“Setakat ini kita tidak menolak berkemungkinan wujud sabotaj seperti vandalisme, kecurian wayar dan kabel yang sering dihadapi JKNS. Bagaimanapun, kita akan menunggu laporan penuh pasukan penyiasat,” katanya.
Semalam Kosmo! Online melaporkan, seorang pemandu kereta kritikal dan penumpang maut selepas Proton Preve dinaiki mangsa masing-masing berusia 20-an diseret sejauh 100 meter oleh sebuah kereta api dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang semalam.
Mangsa yang juga penumpang, Daniel Shafwan Omar, 21, meninggal dunia ketika menerima rawatan manakala Mohd. Amir Khairi Abdul Ghani, 20, masih menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth 1 di sini. – K! ONLINE











