Perhebat dekati institusi, NGO bukan Islam -Nik Muhamad Abduh - Utusan Malaysia

Perhebat dekati institusi, NGO bukan Islam -Nik Muhamad Abduh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS 16 Sept. – Pas perlu menggerakkan jenteranya agar keluar dari ruang lingkup biasa dengan mendekati institusi-institusi atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bukan Islam bagi membolehkan masyarakat bukan Islam lebih mengenali Pas dan perjuangannya.

NIK MOHAMAD ABDUH NIK ABDUL AZIZ
NIK MUHAMAD ABDUH NIK ABDUL AZIZ 

Pengerusi Lajnah Dakwah Pas Pusat, Nik Muhamad Abduh Datuk Nik Abdul Aziz berkata, langkah itu penting bagi menyebarluaskan penerangan kepada kelompok sasar supaya lebih memahami  perjuangan Pas dan dapat menerimanya kelak.

Menurut beliau, selain aktif mengadakan pertemuan dengan para pemimpin agama lain di Semenanjung, usaha serupa perlu dilaksanakan secara agresif di Sabah dan Sarawak.

“Saya sendiri sebelum ini mengadakan pertemuan serta dialog dengan 20 paderi dan reaksi yang kita terima adalah positif semasa penerangan daripada mengenai pelbagai isu berkaitan Islam,” katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika menggulung perbahasan pada hari terakhir Muktamar Tahunan Pas Ke-64 di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri, di Gong Badak dekat sini hari ini.

Dalam pada itu, Pengerusi Lajnah Perpaduan Pas, Dr. Najihatussalehah Ahmad pula berkata, kepemimpinan parti juga perlu mengadakan perbincangan dengan wakil-wakil masyarakat berketurunan Cina berkaitan isu Sijil Peperiksaan Bersatu (UEC) yang kini hangat diperdebatkan.

Menurut beliau, langkah itu perlu dilakukan agar dapat mencerminkan kepada orang Cina bahawa Pas adalah parti mempunyai dasar terbuka dalam usaha menarik sokongan komuniti itu kepada Pas terutama dalam mengadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

“Saya juga cadangkan supaya Pas tubuhkan jabatan yang berperanan mendekatkan parti itu dengan kaum lain agar Pas sentiasa relevan untuk semua kaum pada masa akan datang,” jelasnya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×