ALOR SETAR 23 Sept. – Polis menahan reman 13 lelaki selama tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes pergaduhan ketika Pemilihan PKR Cabang Merbok di sebuah taman tema di Sungai Petani semalam.
Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Sesyen Sungai Petani, Balkhis Abdul Halim, selepas permohonan dibuat pihak polis yang menahan suspek.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, polis menahan 14 lelaki disyaki terbabit dalam pergaduhan tersebut sebelum seorang daripada mereka dibebaskan dengan jaminan polis kerana masalah kesihatan.
“Sebanyak 13 lelaki berusia 20 hingga 50-an dibawa ke mahkamah pagi tadi bagi mendapatkan tahanan reman.
“Semalam di lokasi kejadian polis menahan empat lelaki dan susulan siasatan 10 lagi ditahan malam tadi di sekitar daerah ini,” katanya di sini hari ini.
Semalam tular di media sosial klip video insiden membabitkan ahli PKR tersebut yang dipercayai menggunakan penyapu dan paip plastik memukul antara satu sama lain.
Kata Adzli, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 148.
“Siasatan awal mendapati suspek merusuh di lokasi kejadian dipercayai kerana rasa tidak puas hati berhubung perjalanan proses pemilihan tersebut, “ katanya. – UTUSAN ONLINE











