Perdana Menteri cadang makanan tradisi dim sum, nasi lemak, tose difrancaiskan  - Utusan Malaysia

Perdana Menteri cadang makanan tradisi dim sum, nasi lemak, tose difrancaiskan 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mahu lebih banyak produk makanan-makanan tempatan dapat dikembangkan sebagai perniagaan francais dan dijual ke seluruh dunia seperti rangkaian restoran makanan segera McDonald’s dan Starbucks.

Jelas beliau, makanan tradisional popular seperti dim sum, nasi lemak dan tose mempunyai potensi yang besar untuk difrancaiskan namun tidak dapat dikembangkan kerana masih ramai yang tidak memahami tentang pengurusan francais dan tidak dapat berkembang 

“Kita ada banyak makanan di Malaysia oleh sebab kita ada tiga kaum besar iaitu Cina, Melayu dan India yang mempunyai makanan berlainan dan sedap. 

Memuatkan artikel berkaitan…

“Namun kita belum mempunyai francais yang menjual dim sum, nasi lemak dan tose, kalau ini difrancaiskan dan tiga makanan ini dijual di seluruh dunia, semua ada potensi tapi kita kurang faham pengurusan francais sebab itu kita belum berkembang seperti McDonald’s dan Starbucks,” katanya ketika berucap pada Anugerah Francais Malaysia 2018 di sini hari ini.

Hadir sama pada majlis tersebut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Saifuddin Nasution Ismail; Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Jamil Salleh dan Pengerusi Persatuan Francias Malaysia (MFA), Datuk Radzali Hassan. 

Dalam pada itu, Ahli Lembaga Pengarah Kumpulan Utusan, Datuk Ahmad Fauzi Zahari menerima Anugerah Penghargaan Khas Organisasi atas sumbangan untuk mempromosikan industri francais di negara ini. 

Pada majlis tersebut, Global Arts & Creative Sdn. Bhd. (Global Arts) dinobatkan sebagai penerima Anugerah Francais Malaysia 2018 sekali gus menewaskan 14 syarikat francais yang tersenarai ke peringkat akhir.

Syarikat itu turut merangkul dua anugerah iaitu Francaisor Terbaik dan Francaisor Antarabangsa Terbaik (Asia Pasifik).

Dalam pada itu, Anugerah Francaisor Harapan Terbaik dimenangi oleh City Coin Laundry Sdn. Bhd. (Laundrybar) dan Gerbang Alaf Restaurant Sdn. Bhd. (McDonald’s) berjaya memenangi kategori Francaisi Induk Terbaik dan Majikan Francais Terbaik.

Terdahulu, Mahathir dalam ucapannya berkata, mereka yang terlibat dalam perniagaan francais perlu mempunyai disiplin yang tinggi dan mengawal diri serta mengikut peraturan yang ditetapkan dalam perniagaan tersebut.

“Mereka yang terlibat dalam perniagaan ini perlulah sanggup berlatih dan berpegang kuat kepada disiplin, kerajinan dan amanah kerana sistem ini mampu sumbang banyak kepada ekonomi negara. 

“Hari ini kita dapati banyak francais luar negara dan ada beberapa syarikat francais dalam negara yang mencapai kejayaan yang baik, jadi tiada sebarang had diletakkan untuk memasuki bidang perniagaan seperti ini,” kata beliau. – K! ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini