IPOH 19 Sept. – Sukan Malaysia (Sukma) 2018 menjadi temasya paling istimewa buat tuan rumah, Perak apabila berjaya mengekalkan ‘ibu segala emas’ dengan merangkul kejuaraan hatrik bola sepak selepas mengalahkan Kedah 2-1 dalam perlawanan akhir penuh dramatik di Stadium Perak, sebentar tadi.
Turun selaku juara bertahan dua kali berturut-turut sejak 2014, skuad kendalian Chan Wing Hoong menguasai permainan pada 45 minit pertama, namun Kedah tidak memberi laluan mudah kepada mereka untuk meraih kemenangan.
Beraksi di hadapan ribuan penyokong sendiri, Perak ghairah mengasak kubu lawan tetapi hanya satu percubaan tepat dilakukan ke arah gawang lawan berbanding tiga yang dicipta oleh Kedah.
Bersambung babak kedua, Perak berusaha, namun sebaliknya Kedah yang terlebih dulu mengejutkan penonton tuan rumah apabila membuka jaringan menerusi sepakan bebas Mohd. Fadzrul Danel Mohd. Nizam pada minit ke-64.
Tersentak dengan jaringan tersebut, Perak menggandakan asakan dan hanya memerlukan dua minit kemudian untuk menyamakan kedudukan menerusi Muhammad Alif Safwan Mohd. Sallahuddin, sebelum rembatan Muhamad Asyraaf Mat Pushni pada minit ke-70 mengesahkan kemenangan tuan rumah.
Sementara itu, pingat gangsa menjadi milik Sabah apabila bangkit daripada ketinggalan untuk menundukkan Terengganu 2-1 di Stadium Majlis Perbandaran Manjung. – UTUSAN ONLINE











