Penyokong kecewa FMLLP tunda perlawanan Sabah dan Pahang saat akhir - Utusan Malaysia

Penyokong kecewa FMLLP tunda perlawanan Sabah dan Pahang saat akhir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU – Penyokong pasukan bola sepak Sabah menyelar tindakan Usahasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) yang mengumumkan penundaan perlawanan Piala Malaysia antara Sabah dan Pahang pada hari perlawanan yang sepatutnya berlangsung semalam.

Presiden Sabah Football Fans Club (SFFC), Newbaxter Tibin berkata, FMLLP sepatutnya mengumumkan penundaan itu lebih awal berikutan permohonan penangguhan telah dilakukan sejak 8 Ogos lalu.

Menurut beliau, berdasarkan maklumat yang diterima, Persatuan Bola Sepak Sabah (Safa) telah menghantar permohonan secara bersurat supaya perlawanan antara Sabah dan Pahang ditangguhkan.

“Namun, apa yang mendukacitakan pada 13 Ogos lalu surat balas daripada FMLLP menolak permohonan yang dibuat oleh pihak Safa.

“Kemudian, semalam secara tiba-tiba pula mereka memberitahu bahawa perlawanan ditunda sehingga menyebabkan ramai penyokong Sabah yang datang dari jauh terpaksa menanggung kerugian dari segi kos penginapan dan masa,” katanya hari ini.

Tambahnya, beliau yakin penyokong dari Pahang turut kecewa dengan keputusan menunda perlawanan itu apatah lagi ada yang terpaksa menangguh penerbangan dan penginapan di sini.

Newbaxter mendedahkan, FMLLP hanya bersetuju menangguhkan perlawanan tersebut selepas menerima permohonan dari kerajaan negeri.

Bagaimanapun, segala kos kerugian perlu ditanggung sepenuhnya oleh pihak Safa.

Semalam, perlawanan saingan kumpulan D Piala Malaysia antara Sabah dan Pahang terpaksa ditunda malam ini bagi memberi penghormatan terhadap sambutan Hari Malaysia ke-55 di Padang Merdeka di sini.

Sambutan itu turut dihadiri Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN