PENDANG – Polis menahan seorang penoreh getah dan duda dipercayai terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah jenis heroin serta syabu dalam dua serbuan berasingan di daerah ini semalam dan kelmarin.
Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Arriz Sham Hamezah berkata, salah seorang lelaki yang ditahan itu bekerja sebagai penoreh getah dan merupakan antara pengedar dadah yang dikenal pasti aktif menjalankan kegiatan tersebut di sini.
Menurutnya, lelaki berusia 40-an itu ditahan di belakang sebuah rumah di Kampung Kubur Panjang, Mukim Rambai di sini kira-kira pukul 1 petang semalam.
“Hasil pemeriksaan, polis menemui lima peket plastik lutsinar yang mengandungi ketulan dan serbuk berwarna putih disyaki dadah jenis heroin seberat 800 gram serta 34 peket lutsinar yang mengandungi ketulan dan serbuk disyaki dadah jenis syabu dengan berat kira-kira 37 gram.
“Nilai pasaran heroin yang dirampas itu dianggarkan bernilai kira-kira RM24,000 dan syabu pula RM37,000,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang di sini sebentar tadi.
Selain itu, Arriz Sham memberitahu, polis turut menyita wang tunai bernilai RM2,245, sebuah kereta jenis BMW model E320i dan sebuah motosikal jenis Yamaya Y150 yang dipercayai diperoleh daripada aktiviti pengedaran dadah.
Menurutnya, suspek terbabit yang sebelum ini mempunyai rekod jenayah berkaitan bahan letupan dan dadah telah ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam dan disiasat di bawah Seksyen 39B dan 39A Akta Dadah Berbahaya 1952.
Sementara itu, beliau berkata, polis turut menahan seorang duda berusia 30-an yang juga pengedar dadah di sebuah rumah di tepi stesen kereta api di Kobah di sini kira-kira pukul 7.30 malam kelmarin.
Menurutnya, pihaknya berjaya merampas satu peket plastik lutsinar yang berisi serbuk dan ketulan putih disyaki dadah heroin seberat kira-kira 29.60 gram serta satu peket plastik lutsinar yang berisi daun-daun kering disyaki dadah jenis ganja seberat kira-kira 0.40 gram.
“Nilai pasaran heroin yang dirampas daripada duda tersebut yang merupakan seorang penganggur ialah bernilai RM900 manakala ganja RM20.
“Duda yang tinggal di Kampung Perigi, Yan dekat sini mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah sebelum ini turut ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam serta disiasat mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 6 ADB 1952,” katanya.
Bagaimanapun, tambahnya, siasatan awal mendapati kegiatan kedua-dua suspek yang ditahan itu tidak mempunyai kaitan dan mereka menjalankan kegiatan mengedar dadah secara berasingan. – K! ONLINE











