Penolong pegawai Rela tidak mengaku salah, tuntutan palsu RM36,352 - Utusan Malaysia

Penolong pegawai Rela tidak mengaku salah, tuntutan palsu RM36,352

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING – Dua penolong pegawai dari Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) Daerah Simunjan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Khas Rasuah di sini hari ini atas tuduhan membuat tuntutan elaun palsu sebanyak RM36,352 semasa Pilihan Raya negeri Sarawak yang lalu.

Tertuduh pertama, Ahmad Adeni, 32, dan rakan subahatnya, Mohd. Zairoolzaman Zaini, 34, membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim Nixon Kennedy Kumbong.

Berdasarkan kertas pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa mengemukakan dokumen tuntutan elaun petugas Rela Dewan Undangan Negeri (DUN) 21( Simunjan), DUN 22 (Sebuyau), DUN 23 (Balai Ringin) bertarikh 7 hingga 29 April 2012.

Memuatkan artikel berkaitan…

Mereka didakwa mengemukakan senarai kehadiran petugas peti undi di tiga DUN tersebut pada bulan sama berjumlah RM36,352, namun tiada anggota Rela bertugas ketika itu.

Ahmad dituduh mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Manakala Mohd. Zairoolzaman yang didakwa bersubahat dituduh mengikut seksyen sama yang dibaca bersama Seksyen 28(1)(c) akta sama.

Jika sabit kesalahan, kedua-dua tertuduh boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama iaitu dipenjarakan tidak lebih 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi.

Hakim membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 dan tertuduh diarahkan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Mahkamah kemudian menetapkan 5 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula, manakala perbicaraan pada 10 hingga 14 Disember depan.

Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa SPRM, Dzulkarnain Rousan Hasbi, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam. – K! ONLINE
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini