Pengganas serang perarakan tentera - Utusan Malaysia

Pengganas serang perarakan tentera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUBAI 22 Sept. – Sekurang-kurangnya 29 orang anggota pasukan Pengawal Revolusi Iran terbunuh apabila sekumpulan pengganas tidak dikenali melepaskan tembakan ke arah satu perarakan tentera di barat daya Iran, hari ini.

Stesen televisyen tempatan melaporkan, serangan turut mencederakan 60 orang de­ngan menyasarkan tempat duduk pegawai kerajaan Iran yang berhimpun bagi menyaksikan acara tahunan menandakan permulaan perang antara Iran-Iraq pada 1980-1988.

Menurut agensi berita ISNA, sebanyak empat militan me­lakukan serangan itu dengan dua daripadanya terbunuh.

Buat masa ini, masih tiada pihak mengaku bertanggungjawab melakukan serangan di bandar Ahvaz itu.

“Tembakan dilakukan oleh beberapa lelaki bersenjata dari belakang tempat duduk semasa perarakan itu, terdapat beberapa orang terbunuh dan cedera,” lapor televisyen tempatan.

Perarakan tentera serupa turut diadakan di beberapa bandar di Iran termasuk Teheran dan pelabuhan bandar Abbas.

Agensi berita Mehr melaporkan, tembakan susulan turut berlaku apabila beberapa penyerang yang berjaya melarikan diri dikejar pasukan keselamatan.

Stesen televisyen tempatan menyalahkan pengganas di atas serangan itu.

Bandar Ahvaz terletak di wilayah Khuzestan di mana terdapat penentangan dalam kalangan etnik minoriti Arab di negara mengamalkan mazhab Syiah itu.

ISNA yang memetik kenya­taan jurucakap tentera Iran yang tidak didedahkan sebagai berkata, pasukan keselamatan me­nyalahkan beberapa pihak di atas serangan itu.

Tahun lalu, dalam satu serangan oleh mi­litan Daesh di Teheran, sebanyak 18 orang maut di Parlimen dan bangunan makam Ayatollah Ruhollah­Khomeini, pengasas dan pe­mimpin pertama Republik Islam Iran.

Sementara itu, Menteri Luar Iran, Mohammad Javad Zarif berkata, kerajaan akan bertindak balas dengan cepat dan tegas terhadap serangan itu bagi mempertahankan keselamatan rakyat. – REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN