KUALA LUMPUR 13 Sept. – Empat pertuduhan terhadap peguam terkemuka, Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah merupakan langkah untuk menafikan hak Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mendapat perbicaraan yang adil.
Menurut bekas Perdana Menteri itu, pendakwaan tersebut juga dilihat sebagai langkah untuk menakutkan atau menghalang Muhammad Shafee dan peguam lain daripada mewakili beliau di mahkamah.
Kata Ahli Parlimen Pekan itu, dakwaan terhadap Muhammad Shafee kerana menerima pembayaran bagi khidmat guamannya adalah satu duluan (precedent) perundangan yang berbahaya buat semua peguam, ahli profesional dan perniagaan.
“Sebelum ini, hakim bagi kes saya telah ditukar secara tiba-tiba manakala Jabatan Peguam Negara melantik dua peguam luar bagi mengetuai kes pendakwaan terhadap saya.
“Ini jelas bertentangan dengan pendirian dan bantahan kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini iaitu Jabatan Peguam Negara tidak sepatutnya melantik peguam luar sebagai pendakwa raya ketika Muhammad Shafee bertindak sebagai pendakwa raya dalam kes Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Kini, Jabatan Peguam Negara bukan sahaja melantik seorang, malah dua peguam luar untuk bertindak sebagai pendakwa raya,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Peguam utama yang mengetuai barisan tujuh peguam bela yang mewakili Najib, Muhammad Shafee Abdullah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan iaitu menerima bayaran sebanyak RM9.5 juta daripada bekas Perdana Menteri itu kira-kira lima tahun lalu.
Muhammad Shafee didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. – UTUSAN ONLINE










