Pemuda mesti bersedia terima keputusan - Muhammad Khalil  - Utusan Malaysia

Pemuda mesti bersedia terima keputusan – Muhammad Khalil 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU 13 Sept. – Pemuda Pas mesti bersedia menerima sebarang keputusan oleh parti dan mendokong ke arah menjayakannya dengan sikap berlapang dada dalam merencanakan usaha memastikan kedudukan Islam dan survival bangsa terus terjamin.

Muhammad Khalil
MUHAMMAD KHALIL

Ketuanya, Muhammad Khalil Abdul Hadi  berkata, berdasarkan sikap semasa yang terang dapat dilihat, Pakatan Harapan yang menerajui kerajaan tidak mempunyai hala tuju jelas hingga ramai mengambil kesempatan menggugat Islam dan hak Melayu.

” Bahkan, retorika perpaduan yang dicanang Pakatan Harapan, bukan sahaja bersifat sementara tetapi turut dibayangi agenda ‘Malaysian Malaysia’ yang dicita-citakan DAP sejak sekian lama.

“Kedudukan politik semasa perlu dinilai semula dan Pemuda mesti bersedia untuk menerima dan mendukung sebarang keputusan bagi memastikan survival utama masyarakat Islam dan Melayu kekal di dalam negara kita.

” Benar ada pihak bermasalah dan kalah, tapi demi Islam kita mengajak kepada kesatuan. Benar ada pihak memimpin dan menang, tapi demi Islam kita juga sedia berpadu. Maka, kita menyerahkan kepada Majlis Syura Ulama untuk menentukan hala tuju perpaduan Islam dan Melayu yang dicadangkan.

Beliau menyatakan demikian kertika menyampaikan ucaptama dalam Majlis Perasmian Muktamar Dewan Pemuda Pas Ke-59 di sini hari ini yang disempurnakan oleh timbalan Presiden Pas,  Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Katanya, ‘desakan’ kerajaan baharu terhadap isu berkait survival Islam dan Melayu menuntut semua membuka minda lebih besar dan keluar dari kepompong liga politik selama ini. 

“Harus diingat, dinamika politik hari ini benar-benar berubah. Kita berpolitik dengan dasar syariat demi kelangsungan umat Islam dan masyarakat Melayu sebagai majoriti dalam demografi populasi negara.

“Maka dengan pelbagai dinamika politik yang terbuka, berubah dan menjadi kian rencam di masa depan menuntut ‘kefaqihan’ seluruh ahli Pas termasuk Pemuda hingga berupaya menyulam gerakan secara aktif dan inovatif.

 “Saya percaya, keupayaan sekurang-kurangnya dalam kedua cabang fiqh ini, bahkan jika boleh lebih dari itu, akan menjadikan Pas penggerak politik yang sentiasa terkehadapan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN