PUTRAJAYA – Seorang Pegawai Perangkawan di Jabatan Perangkaan Malaysia berdepan detik cemas selepas diacukan sebilah pisau pemotong sayur sebelum disamun dalam satu kejadian di Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) Larai, Precint 6 di sini kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.40 malam itu, kereta jenis Nissan Almera milik mangsa turut dilarikan suspek.
Menurut Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Rosly Hassan, suspek bertindak menarik beg tangan mangsa berusia 37 tahun itu ketika menunggu lif sebelum melarikan diri.
Jelasnya, mangsa bertindak mengejar suspek sambil menjerit meminta bantuan, namun tidak berjaya dan kemudiannya bertindak pulang ke rumah untuk memaklumkan kejadian tersebut kepada suaminya.
“Selang 10 minit suami mangsa melihat kereta isterinya telah dilarikan dan suami mangsa cuba mengejar tetapi gagal,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Rosly menjelaskan, hasil siasatan awal mendapati suspek dikejar seorang orang awam sehingga di Jalan Persiaran Timur menghala ke Kajang dan Puchong hingga mengakibatkan kereta yang dicuri tersebut terbabas di tepi jalan sebelum suspek bertindak melarikan diri ke dalam kawasan hutan berhampiran,” katanya.
Ujarnya, semasa kejadian mangsa telah mengenal pasti suspek dengan memakai topi berwarna gelap, baju-T berwarna kelabu gelap, mempunyai ketinggian 180 sentimeter dan berkulit gelap.
“Pihak polis akan membuat fotofit suspek dan hasil analisa pihak forensik pada kenderaan telah berjaya mengesan lapan cap jari di bahagian dalam pintu pemandu dan penumpang sebelah kiri,” jelasnya. – K! ONLINE











