KUALA LUMPUR 22 Sept. – Monopoli peniaga Cina dalam sektor swasta terutama rantaian penawaran serta perbekalan perlu dipecahkan dengan memastikan wujudnya usaha sama bidang tersebut dengan peniaga Melayu.
Penasihat Majlis Perundingan Melayu (MPM), Dr. Rais Saniman berkata, jika perkara itu tidak dilakukan maka selama-lamanya peniaga Melayu dan bumiputera akan ketinggalan ke belakang dalam bidang ekonomi.
“Kita bercakap berdasarkan pengalaman dan apa yang kita lihat, jika tidak mahu ketinggalan jauh ke belakang, monopoli peniaga Cina dalam rantaian penawaran serta perbekalan perlu dipecahkan,” katanya dalam sesi dialog bertajuk Perbandingan Kemakmuran Malaysia dan Norway: Bumiputera Boleh Makmur anjuran MPM di sini, hari ini.
Yang turut menjadi panel ialah ahli antropologi Christian Michelsen Institute (CMI) Norway, Roald Moi dan Mari Norbakk.
Mengulas lanjut selepas sesi dialog tersebut, Rais berkata, peniaga Melayu tidak boleh menyalahkan peniaga Cina dalam soal berkenaan.
“Kita tidak boleh salahkan orang Cina dalam soal ini. Apa yang boleh dilakukan ialah kerajaan perlu sediakan insentif cukai kepada peniaga agar ada ruang kerjasama dijalinkan antara peniaga Cina dan peniaga Melayu.
“Kita kena kurangkan berpolitik dan fokus kepada ekonomi,” katanya.











