KUALA LUMPUR 12 Sept. – Syarikat pembekal kabel fiber optik, Opcom Holdings Bhd. berhasrat untuk terlibat dalam projek perintis penawaran khidmat jalur lebar berkelajuan tinggi (HSBB) oleh Tenaga Nasional Bhd. (TNB) bagi menjayakan Pelan Ketersambungan Kebangsaan (NCP).

Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Opcom, Tan Sri Mokhzani Mahathir (gambar) yakin bahawa syarikat pengeluar gentian optiknya itu boleh bekerja dengan baik menyokong agenda telekomunikasi syarikat utiliti elektrik negara.
Katanya, pengumuman TNB baru-baru ini untuk menembusi pasaran komunikasi fiber telah menarik perhatian Opcom.
“Oleh itu, kami mahu mengetahui lebih lanjut tentang inisiatif berkenaan dan bagaimana Opcom boleh memainkan peranan dan terlibat sama.
“Opcom adalah pengeluar gentian optik yang ditubuhkan di Malaysia, kami akan cuba untuk mengambil bahagian memenuhi permintaan bagi cadangan daripada pelanggan kami,” katanya selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Opcom di sini hari ini.
Pada minggu lalu, TNB mengumumkan bakal melaksanakan projek perintis penawaran khidmat HSBB di Jasin, Melaka menggunakan infrastruktur fiber optik miliknya bermula September ini.
Projek rintis yang dijangka siap pada akhir 2018 meliputi 1,100 daripada 4,300 kediaman di tiga kawasan iaitu Taman Merbau, Taman Maju dan Felda Kemendor, di Jasin, Melaka.
Melalui projek berkenaan, TNB akan meneroka potensi menggunakan kapasiti aset telekomunikasi kami yang sedia ada bagi NCP.
Dalam perkembangan lain, Mokhzani berkata, nilai projek dalam tangan Opcom mencecah lebih RM100 juta dan dijangka boleh bertahan sehingga pertengahan tahun depan.
Meskipun beliau yakin terdapat lebih banyak peluang bagi syarikat itu pada masa akan datang, Mokhzani mengakui industri telekomunikasi sedang menghadapi tempoh yang mencabar ketika ini.
“Teknologi sentiasa berubah dan ini bermakna pengguna mahukan akses yang lebih luas dan pantas tetapi pada harga yang lebih rendah seiring dengan yang dibincangkan oleh kerajaan Pakatan Harapan,” katanya. – UTUSAN ONLINE









